KUALA LUMPUR – Parti Kancil pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli disifatkan tidak mempunyai pengaruh besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya tumpuan pengundi perlu diberikan kepada memperkukuhkan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH).
Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, sokongan padu kepada PH penting bagi memastikan wujud keseimbangan kuasa dalam pentadbiran kerajaan negeri Johor.
Menurut beliau, walaupun PH kini bersama Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Persekutuan, peranan gabungan itu di peringkat negeri tetap penting sebagai mekanisme semak dan imbang.
“Kita telah capai dalam perjuangan reformasi ini ialah di semua arena politik mesti ada keseimbangan kuasa. Di mana-mana pun sekiranya satu kerajaan itu dimonopoli oleh mana-mana parti, ia akan membawa kesan yang buruk kerana mungkin tidak ada check and balancedalam sistem pentadbiran.
“Jadi saya menyeru supaya semua pengundi pulang dan memberikan sokongan padu kepada Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas dakwaan berlaku gerakan memboikot PRN dalam kalangan pengundi Cina, Tian Chua tidak melihat perkara itu sebagai isu besar.
Sebaliknya keadaan tersebut mungkin berpunca daripada tahap motivasi yang rendah memandangkan PRN hanya melibatkan sebuah negeri selain faktor komitmen pekerjaan.
“Saya rasa isu boikot tidak wujud. Cuma mungkin kurang motivasi sebab ini hanya pilihan raya negeri dan ada yang merasakan kerja lebih penting daripada mengambil cuti untuk balik mengundi.
“Tetapi saya rasa ini bukan perkara yang harus kita abaikan kerana akhirnya kesan daripada PRN ini akan ditanggung oleh pengundi sendiri,” katanya.
Beliau berkata, pengundi perlu mengetepikan alasan kesibukan dan melaksanakan tanggungjawab dengan kembali mengundi bagi menentukan hala tuju pentadbiran negeri.
Dalam pada itu, Tian Chua menegaskan, PH bukan sebuah parti yang hanya memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum sebaliknya membawa agenda keseimbangan kuasa untuk semua rakyat.
“PH bukan untuk orang bukan Melayu sahaja tetapi untuk semua. Kita memainkan peranan mengimbangkan kuasa bukan atas kepentingan orang bukan Melayu tetapi untuk semua kaum.
“Saya percaya masyarakat Cina dan India menghargai perkara ini dan mereka lebih selesa hidup dalam suasana semua kaum dapat menikmati keamanan,” katanya.
Rafizi sebelum ini mengumumkan bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Johor.
Lapan daripada kerusi itu adalah milik penyandang dari UMNO melibatkan DUN Bukit Naning, Mahkota, Tiram, Permas, Larkin, Kempas, Kota Iskandar dan Bukit Permai.
Lima lagi kerusi adalah milik penyandang dari DAP iaitu Johor Jaya, Stulang, Perling, Skudai dan Senai manakala dua lagi kerusi di Bukit Batu dan Puteri Wangsa masing-masing dimenangi oleh PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA). – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment