GEORGE TOWN – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Pulau Pinang bersedia mempertimbangkan untuk bertanding di kesemua 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya pilihan raya negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat.
Parti itu turut menyatakan kesediaan menawarkan calon Ketua Menteri daripada MUDA sekiranya diberi mandat mentadbir Pulau Pinang.
Menurut kenyataan bersama Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) MUDA mewakili Pulau Pinang, Muhammad Danial Abdul Majeed dan S Siranjeev Ram, langkah tersebut mencerminkan kesediaan parti untuk mengambil alih pentadbiran negeri dan membawa pendekatan politik baharu.
Mereka berkata, MUDA tidak berhasrat menjadi parti pelengkap, pemecah undi atau sekadar memenuhi syarat bertanding sebaliknya mahu menawarkan persaingan sebenar kepada kerajaan negeri sedia ada.
Menurut mereka, pembebasan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi nafas baharu kepada parti untuk terus memperkukuh perjuangan dan mengorak langkah ke hadapan.
“Mungkin ada yang menganggap hasrat MUDA untuk bertanding di semua kerusi sebagai sesuatu yang mustahil.
"Namun sejarah membuktikan perubahan hanya berlaku apabila ada pihak yang berani mencabarnya.
“Dahulu ramai juga beranggapan Barisan Nasional tidak mungkin tumbang di Pulau Pinang, namun sejarah telah membuktikan sebaliknya,” kata mereka.
Pada Isnin, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq kekal dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan atas empat kes bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda.
Menerusi keputusan majoriti 2-1, dua hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah berpendapat ahli politik berusia 34 tahun itu wajar dilepas dan dibebaskan.
Dalam pada itu, mengulas mengenai keputusan PRN Johor baru-baru ini, Muhammad Danial dan Siranjeev berkata, keputusan pada PRN itu tidak boleh dijadikan ukuran kerana landskap politik Johor berbeza dengan Pulau Pinang.
“Kami tidak datang untuk menjadi pelengkap atau pemecah undi. Kami datang untuk mencabar kerajaan negeri.
“Pulau Pinang tidak perlu memilih antara dua pilihan yang sama mengecewakan. Sudah tiba masanya rakyat diberikan pilihan yang benar-benar baharu,” kata mereka lagi.
Dalam PRN Johor pada Sabtu lalu, kesemua empat calon MUDA kehilangan wang deposit selepas gagal memperoleh satu per lapan daripada jumlah keseluruhan undi di kawasan masing-masing.
Kerusi tunggal mereka di Puteri Wangsa sebelum ini juga gagal dipertahankan dan berjaya ditawan oleh Pakatan Harapan.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment