PORT DICKSON – Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan bersama-sama melaksanakan manifesto masing-masing sekiranya diberikan mandat oleh rakyat Negeri Sembilan, meskipun kedua-dua parti itu melancarkan manifesto berasingan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedua-dua gabungan parti itu seiringan dalam memastikan kebersamaan manifesto masing-masing, sekali gus menyifatkannya mampu dilaksanakan secara bersama.
“Kita tidak ada perjanjian, kita tidak ada kerjasama secara rasmi, cuma ada persefahaman (dengan PN).
“Ertinya manifesto BN adalah untuk BN dan kita akan laksanakan jika mandat diberikan semula nanti.
“Dan tentunya kita akan rangkul sekali apa yang tersurat dan tersirat daripada rakan-rakan lain.
“Saya fikir tidak ada sebarang permasalahan yang timbul jika pelaksanaannya dibuat kerana kita mencakupi semua lapisan masyarakat di Negeri Sembilan,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO ditemui pemberita selepas menghadiri Program Ramah Mesra Bersama Komuniti Cina di Kampung Pachitan, Chuah di sini, petang ini.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri ditanya berkenaan kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang mempersoalkan berkenaan manifesto berbeza yang dilancarkan BN dan PN, meskipun kedua-dua gabungan itu jelas menjalin kerjasama pada PRN Negeri Sembilan ke-16.
Menyifatkan perkara itu sebagai aneh, Muhyiddin berkata, ia boleh menimbulkan percanggahan berkenaan manifesto parti mana yang akan dilaksanakan sekiranya gabungan tersebut berjaya membentuk kerajaan negeri, Sabtu ini.
Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis itu, Ahmad Zahid menjelaskan yang mana kerajaan Negeri Sembilan kekal sealiran dengan Kerajaan Pusat sekiranya BN berjaya merampas semula negeri itu.
Katanya, ini kerana BN sudah membuat jaminan tidak akan `tebuk atap’, sebaliknya kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tempoh penggal pentadbiran negara berakhir.
“Menteri Besar dari Negeri Sembilan sebagaimana Menteri Besar di Johor selepas PRN lalu akan kekal seiring dan sejalan dengan Putrajaya supaya kita dapat terus menjaga kebajikan rakyat negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment