SEREMBAN – Persefahaman yang terbentuk antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masih terlalu awal untuk dinilai malah bakal berdepan pelbagai ujian selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Bastien Onn berkata, kerjasama berkenaan akan diuji dalam beberapa pilihan raya akan datang termasuk PRN Melaka dan seterusnya Pilihan Raya Umum (PRU).
Menurut beliau, kerjasama politik antara parti Melayu bukan sesuatu yang baharu kerana UMNO sebelum ini pernah bersama Pas menerusi Muafakat Nasional selain membentuk kerajaan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“UMNO sebelum ini pun pernah bersama Pas di dalam Muafakat Nasional malah membentuk kerajaan bersama Bersatu ketika itu dan kerjasama itu terlerai,” katanya di sini hari ini.
Bastien berkata, BN, Pas dan Bersatu juga pernah bersama-sama membentuk kerajaan sebelum ini manakala pada PRN Negeri Sembilan kali ini, satu lagi bentuk kesepakatan menyaksikan BN, Pas dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) bergerak dalam satu formula politik.
“Saya percaya kepimpinan tertinggi parti mendengar kehendak dan impian pengundi Melayu yang mahukan kita kembali bersatu dan tidak berpecah-belah.
“BN bertanding di 25 kerusi manakala PN (Pas dan Wawasan) bertanding di 11 kerusi. Formula ini akan diuji di PRN Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata, kesepakatan itu juga dilihat sebagai satu perkembangan yang dinantikan oleh sebahagian pengundi Melayu yang mahu melihat penyatuan politik Melayu kembali kukuh.
“Terima kasih kepada Presiden dan Majlis Tertinggi (MT) yang mendengar hasrat orang Melayu yang mahukan kesatuan. Bila Melayu telah kuat, barulah kita berupaya melindungi minoriti. Ini penyatuan Melayu yang ditunggu-tunggu,” katanya.
Di sini, calon MCA, Alan Lai akan berdepan calon DAP, J. Arul Kumar bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai dengan Arul Kumar merupakan penyandang kerusi berkenaan selama tiga penggal.
Bastien yakin pengundi Cina berpotensi memberikan sokongan kepada calon MCA berdasarkan perkembangan pilihan raya di Sabah dan Johor, selain mengambil kira rasa tidak puas hati terhadap isu setempat yang masih belum diselesaikan.
“Apa yang kita dengar daripada pengundi, rata-rata mereka tidak berpuas hati dengan pelbagai masalah setempat yang masih tidak dapat diselesaikan. Kita yakin angin perubahan akan berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment