NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Malaysia tumpu tingkatkan gaji lebih tinggi disusuli perluasan asas cukai



PUTRAJAYA:
 Keutamaan segera Malaysia pada masa ini adalah meningkatkan pendapatan rakyat dan mengatasi isu gaji struktur sebelum meluaskan asas cukai, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata, langkah itu sebagai tindak balas kepada syor Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) supaya Malaysia melakukan pembaharuan terhadap sistem cukai termasuk memperkenalkan semula cukai penggunaan meluas dan melebarkan asas cukai pendapatan individu untuk menggerakkan hasil tambahan.

Seperti yang diketengahkan dalam Tinjauan Ekonomi OECD bagi Malaysia, hanya kira-kira 15% tenaga kerja negara ini kini berada dalam lingkungan bersih cukai pendapatan individu, katanya.

“Isunya adalah Malaysia perlu meneruskan tumpuan kepada keupayaan untuk meningkatkan pendapatan terlebih dahulu. Mungkin terdapat pandangan mengenai memperkenalkan sistem percukaian yang lebih cekap, tetapi kita juga perlu mempertimbangkan ruang untuk meningkatkan pendapatan rakyat terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Tinjauan Ekonomi OECD bagi Malaysia.

“Pada masa ini, walaupun kita menghormati pandangan OECD, namun perkara lebih penting adalah cara untuk kita meluaskan pendapatan cukai kerana tanpa gaji yang lebih tinggi atau upah lebih baik, apa-apa sahaja cukai yang kita perkenalkan mungkin mempunyai beberapa kesan dari segi penggunaan atau pendapatan rakyat.”

Justeru, katanya, pada ketika ini tumpuan Malaysia adalah untuk menangani isu gaji secara lebih komprehensif.

Mengulas sama ada peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mencukupi untuk meningkatkan hasil kerajaan dan mencapai sasaran pengukuhan fiskal, Akmal Nasrullah berkata, isu gaji masih merupakan masalah struktur yang perlu diberi keutamaan.

“Kita perlu lebih berani dalam menghadapi isu gaji yang sememangnya masih merupakan masalah struktur yang berlaku kerana isu dari segi percukaian adalah untuk mengembangkannya, kerana gaji tidak mencukupi untuk membayar cukai pendapatan.

“Keutamaan pada masa ini adalah untuk terus menangani isu struktur mengenai gaji atau tahap pendapatan rakyat. Peraturan cukai yang diperkenalkan juga perlu merangkumi cara supaya cukai boleh diperluas lagi namun, tidak sehingga mengekang pertumbuhan ekonomi sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pengajian Negara OECD Luiz de Mello berkata, melalui tinjauan itu, pelbagai pilihan dari segi perbelanjaan dan hasil dikenal pasti boleh membantu Malaysia mencapai sasaran pengukuhan fiskal.

Beliau berkata, Malaysia menyasar untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3% menjelang 2028 dan menstabilkan hutang di bawah paras 60% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi jangka masa panjang.

“Perkara yang kami cuba lakukan dalam tinjauan ini adalah untuk mengenal pasti beberapa pilihan, dari segi perbelanjaan dan hasil, yang mungkin seiring dengan usaha untuk mencapai sasaran tersebut.

“Satu perkara yang dalam tinjauan ini dari segi perbelanjaan adalah mengenai subsidi bahan api fosil, Ruang yang kami pertimbangkan adalah mengurangkan perbelanjaan kategori itu secara beransur-ansur dengan cara yang dapat melindungi kewangan awam dan pada masa sama melindungi isi rumah yang rentan daripada tekanan berkaitan peningkatan kejutan tenaga yang ketara,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun, dari segi hasil, pihaknya menghormati keputusan Malaysia untuk tidak menumpukan kepada cukai nilai tambah pada masa ini.

Katanya, langkah itu telah dipertimbangkan oleh banyak negara.

“Ini sebahagian dialog dasar kami: Kami bertukar pandangan mengenai pilihan, dan negara-negara mempertimbangkan perkara yang mereka dapati paling sesuai untuk objektif khusus masing-masing,” katanya.


Sumber | FMT Malaysia










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo