BAKRI – Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden menyeru seluruh penyokong gabungan politik itu mengundi calon daripada parti komponen PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas berkata, sokongan itu termasuk sama ada kawasan itu ditandingi calon Pas; Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau mana-mana parti komponen PN lain.
Menurut beliau, keutamaan bagi penyokong dan pengundi PN pada PRN Johor kali ini adalah menafikan kemenangan calon-calon Pakatan Harapan (PH).
“Sebab antara Bersatu dengan PH, PH lagi teruk, bersatu okay lagi walaupun kita henti hubungan dan kerjasama politik.
“Politik kita ada batas juga, jangan bagi musuh menang,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah pada program Pentas Anak Muda & Himpunan Jentera Pemuda PN di Simpang, Jeram Bakri di sini, malam tadi.
Sementara itu, Afnan Hamimi berkata, meskipun Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu sebelum ini, namun kedua-dua parti itu bersama-sama dalam PRN Johor kali ini dalam memastikan mampu menewaskan PH.
“Dari segi jentera, Bersatu guna jentera Bersatu, Pas guna jentera kita sendiri.
“Jentera Bersatu tumpu di kerusi Bersatu, sebab Bersatu kan banyak jentera,” katanya sinis.
Perkara berkenaan sokongan antara Pas dan Bersatu pada PRN Johor ketika ini menjadi isu terbaharu yang dilihat semakin merumitkan lagi hubungan antara kedua-dua parti tersebut.
Ia selepas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan Pas tidak akan berkempen bagi calon Bersatu meskipun kedua-dua parti itu bertanding menggunakan logo sama iaitu lambang PN.
Malah, Timbalan Presiden Pas yang juga Timbalan Presiden PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut menggesa penyokong dan ahli Pas mengundi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi-kerusi yang tidak ditandingi calon PN.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, Pas akan memutuskan pendirian berhubung sokongan kepada Bersatu itu pada Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat hari ini. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment