NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN Johor: Pertembungan Pas-Bersatu hanya untungkan PH - Mohd Syahir



SHAH ALAM - Pertembungan antara Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya akan menguntungkan Pakatan Harapan (PH).

Justeru, Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menegaskan suara akar umbi dan hasrat kaum Melayu perlu diberi perhatian dengan mengelakkan parti-parti yang sehaluan bertembung sesama sendiri.

“Seboleh-bolehnya jangan sampai ‘kabilah’ bertembung. Jika bertembung, yang untung PH.

"Menang sorak, kampung tergadai. Melainkan ada pihak yang mahu menjadi ‘anak tangga’ kepada PH seperti yang pernah diusahakan dahulu.

"Ketika itu Pas menghalang, harapnya tidak berulang," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, Bersatu sedia berhadapan dengan Pas pada PRN Johor sekiranya kedua-dua parti itu bertanding di kerusi yang sama.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu tidak mahu sebarang konflik dalam Perikatan Nasiona (PN), namun parti itu bersedia dengan sebarang kemungkinan berikutan keputusan Pas memutuskan kerjasama politik.

Mengulas lanjut mengenai pembahagian kerusi, Mohd Syahir berpandangan, rundingan bagi menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan perlu berasaskan prinsip penyandang atau 'incumbency'.

Tambah beliau, kerusi selebihnya pula perlu ditentukan berdasarkan 'winnability' dengan mengambil kira kekuatan jentera, sokongan rakyat dan penerimaan terhadap calon.

“Sementara itu, perkara berkaitan penggunaan logo dan pengeluaran watikah calon tertakluk kepada keputusan Majlis Tertinggi (MT) PN serta tandatangan pengerusi gabungan.

“Sekalipun hendak berlawan, jangan diajak. Pas sudah 75 tahun berlawan.

"Jika sehaluan, jalan seiringan. Terserah kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan,” katanya.


Sumber | Sinar Harian









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo