KOTA BHARU – Bersatu disaran muhasabah diri dan menilai semula komitmennya terhadap Perikatan Nasional (PN) sebelum terus menggunakan tafsiran perlembagaan gabungan itu bagi mempertahankan kedudukannya.
Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, perlembagaan PN tidak seharusnya dibaca berdasarkan huruf fasal semata-mata, sebaliknya perlu difahami berdasarkan roh dan tujuan penubuhan gabungan berkenaan.
Menurut beliau, sebuah gabungan politik tidak akan mampu bertahan sekiranya salah satu parti anggotanya terus bertindak bertentangan dengan keputusan bersama sehingga menjejaskan kestabilan dan kekuatan gabungan.
"Antara isu yang menimbulkan persoalan besar terhadap disiplin Bersatu ialah tindakan yang dikaitkan dengan usaha menjatuhkan Kerajaan Negeri Perlis sehingga tumbangnya Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
"Sedangkan kerajaan tersebut dibentuk atas mandat rakyat melalui kerjasama dalam PN," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Beliau turut mendakwa, tindakan menarik sokongan terhadap keputusan dan strategi PN di Negeri Sembilan telah memberi kesan secara langsung kepada kesepaduan gabungan itu.
Menurutnya, sekiranya tindakan yang didakwa mensabotaj kerajaan dan keputusan bersama tidak dianggap sebagai pelanggaran disiplin, maka timbul persoalan mengenai maksud sebenar disiplin dalam sesebuah gabungan politik.
"Jika Fasal 15 memperuntukkan tindakan boleh diambil terhadap parti anggota yang bertindak bertentangan dengan kepentingan PN, maka tindakan yang melemahkan kerajaan PN, menggugat kestabilan pentadbiran PN dan menjejaskan keputusan bersama PN seharusnya dinilai secara serius," katanya.
Mohd Firdaus memberitahu, Pas selama ini menunjukkan kesabaran yang tinggi demi menjaga kesatuan pembangkang, namun ia tidak boleh ditafsirkan sebagai kelemahan.
Katanya, sesebuah gabungan politik memerlukan kepercayaan, kesetiaan dan komitmen terhadap keputusan bersama.
"Jika sesebuah parti berterusan bertindak bercanggah dengan semangat kerjasama, mempertikaikan keputusan bersama serta menimbulkan ketidakstabilan dalam gabungan, maka adalah wajar Majlis Tertinggi dan Majlis Presiden PN menilai semula kedudukan parti tersebut demi menjaga masa depan gabungan," ujarnya.
Beliau menegaskan, PN tidak boleh menjadi medan untuk menikmati manfaat gabungan ketika menguntungkan, tetapi pada masa sama bertindak melemahkan gabungan apabila kepentingan sendiri tidak dipenuhi.
"Bersatu seharusnya bermuhasabah dan menilai kembali kedudukannya. Jika masih ingin kekal dalam PN, tunjukkan komitmen kepada disiplin dan keputusan bersama.
"Jika tidak, maka langkah berundur secara terhormat atau tindakan tegas daripada PN adalah lebih baik daripada terus membiarkan konflik yang berpanjangan," katanya.
Terdahulu, peruntukan Fasal 7A Perlembagaan PN memberikan kuasa kepada Majlis Presiden untuk membuat keputusan muktamad mengenai perkara disiplin parti anggota dan ia mesti dilakukan secara sebulat suara.
Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, walaupun Fasal 15 memberikan kuasa kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk mengambil langkah tatatertib terhadap mana-mana parti anggota, ia bukannya tindakan muktamad.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment