JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menegaskan tidak pernah membuat sebarang keputusan atau persetujuan untuk menyerahkan kerusi N41 Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Naib Pengerusi Amanah Johor, Zuhan Zain berkata, parti itu telah membuat persiapan awal dan menyusun gerak kerja jentera secara menyeluruh untuk mengambil semula serta mempertahankan kerusi berkenaan yang sebelum ini dipinjamkan kepada MUDA pada PRN Johor 2022.
Menurut beliau, Amanah Johor mengambil maklum laporan media yang memetik kenyataan berhubung status kerusi tersebut, namun tidak dapat memastikan sama ada berlaku salah tafsir, kekeliruan atau penafsiran yang tidak tepat terhadap kenyataan yang dikeluarkan pihak tertentu.
“Sehingga hari ini, Amanah Johor masih berpegang kepada semangat persahabatan dan kerjasama dalam Pakatan Harapan (PH).
“Sebarang perbezaan pandangan akan ditangani menerusi saluran rundingan dan perbincangan dalaman, bukannya melalui polemik terbuka yang boleh menjejaskan hubungan antara parti-parti komponen,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau turut berharap semua pihak dapat menjaga sentimen setiakawan dalam gabungan dan mengelakkan kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham atau ketegangan yang tidak perlu.
Katanya, fokus utama ketika ini adalah memperkukuhkan Pakatan Harapan dan terus menyantuni rakyat.
Zuhan berkata, jentera Amanah di Puteri Wangsa kini terus aktif bergerak di lapangan menerusi pelbagai program kemasyarakatan bagi memastikan kehadiran dan peranan parti itu terus dirasai masyarakat setempat.
Tegas beliau, DUN Puteri Wangsa kekal sebagai kerusi yang akan dipertahankan oleh Ananah untuk Pakatan Harapan dan sebarang keputusan berkaitan pembahagian kerusi hanya akan diputuskan melalui proses rundingan yang dipersetujui dalam gabungan berkenaan.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment