KLUANG – Seramai 17 calon DAP yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diumum secara berperingkat-peringkat sehingga Isnin ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, Chu Poh Yee merupakan calon pertama parti itu yang diumumkan malam ini bagi kerusi DUN Mengkibol.
“Kemudian pada Sabtu ini empat lagi calon akan diumumkan melibatkan kerusi DUN Johor Jaya, Tiram, Senai dan Bukit Permai.
“Selebihnya akan diumumkan pada Isnin ini dalam satu program pengumuman Pakatan Harapan (PH) yang akan dihadiri Perdana Menteri,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PH berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pengumuman Calon DUN Mengkibol di Jalan Ismail di sini malam ini.
Anthony berkata, DAP tidak akan meletak calon di DUN Puteri Wangsa dan memberi laluan kepada parti komponen lain dalam PH untuk bertanding.
Mengenai Poh Yee yang berusia 33 tahun, beliau berkata, calon kerusi Mengkibol itu merupakan orang muda dan peguam yang mempunyai latar belakang pendidikan yang baik.
Katanya, Poh Yee juga mempunyai rekod membantu rakyat dalam tempoh dua tahun ini menolong Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi dan Penyandang DUN Mengkibol, Chew Chong Sin berkaitan isu-isu guaman.
“Jadi, rekod beliau ada rekod perkhidmatan di kawasan ini dan kita rasakan kita juga ketengahkan lebih ramai calon wanita, selari dengan hasrat parti untuk beri lebih banyak peluang kepada calon wanita
“Beliau juga calon yang berkualiti, mempunyai penguasaan bahasa yang baik dan mempunyai latar belakang akademik. Apa yang penting dia ada hubungan yang rapat dengan Mengkibol, sebab itu dia terpilih,” katanya.
Sementara bagi Chong Sin pula yang sudah dua penggal berkhidmat di Mengkibol, katanya, beliau akan bertanding di Parlimen Labis pada Pilihan Raya Umum ke-16 nanti.
“Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong sudah nyatakan mahu bersara dan tidak mahu bertanding lagi dalam pilihan raya,” ujarnya.- MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment