KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempertahankan tindakan parti itu yang menamatkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Jelasnya, keputusan tersebut tidak dibuat berdasarkan sentimen atau kepentingan jangka pendek.
Sebaliknya beliau berkata, pertimbangan dibuat terhadap kemampuan sesuatu kerjasama untuk mencapai matlamat yang lebih besar iaitu penyatuan ummah dan kestabilan politik negara.
“Ia bukan menggembirakan tetapi ia ubat pahit yang perlu ditelan demi kemaslahatan yang lebih besar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ahmad Fadhli berkata, keutamaan bagi Pas adalah penyatuan ummah, namun Bersatu menerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) mengambil sikap sebaliknya apabila menentang kemasukan parti-parti seperti Berjasa, Pejuang, IMAN dan PUTRA.
“Walaupun kertas cadangan sudah disiapkan, tindakan tersebut jelas merosakkan gagasan penyatuan yang dihasratkan selama ini,” tambahnya.
Katanya lagi, sikap Bersatu dalam krisis yang berlaku Perlis dan Negeri Sembilan turut menjejaskan moral dan jentera Pas untuk terus bekerja bersama Bersatu dalam pilihan raya akan datang.
Sementara itu, beliau berkata, kedudukan Pas dan Bersatu dalam PN akan diuruskan mengikut peruntukan perlembagaan dan saluran yang sewajarnya.
“Sudah tentu Pasdan Bersatu tidak boleh terus berada di bawah payung yang sama berikutan keputusan yang dibuat semalam,” ujarnya.
Semalam, Pas melalui Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang dipengerusikan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.
Sebagai rekod, selain Pas dan Bersatu, PN juga dianggotai Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).- MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment