KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan kehilangan arah atau menjadi lemah selepas era kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya akan terus kekal relevan kerana berteraskan nilai reformasi, keadilan dan demokrasi yang menjadi asas perjuangannya sejak lebih dua dekad lalu.
Naib Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Loh Ker Chean berkata, beliau menghormati kegusaran yang disuarakan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mengenai masa depan parti serta keupayaannya melahirkan pemimpin pelapis selepas Anwar.
Menurut beliau, hak untuk mengemukakan kritikan dan pandangan secara jujur merupakan sebahagian daripada budaya Reformasi yang diperjuangkan sejak penubuhan parti.
Bagaimanapun, beliau berbeza pandangan dengan kesimpulan bahawa Keadilan akan kehilangan hala tuju atau tidak mampu bertahan selepas era kepimpinan Anwar.
“Sejarah membuktikan bahawa Keadilan bukan sebuah parti yang bergantung kepada seorang individu semata-mata.
“Sepanjang lebih dua dekad perjuangannya, Keadilan telah melalui pelbagai ujian besar termasuk pemenjaraan pemimpin utama, tekanan politik berterusan, perpecahan dalaman, kehilangan tokoh penting serta episod pengkhianatan yang hampir menjatuhkan kerajaan negeri dan pusat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Loh, setiap kali berdepan cabaran, Keadilan bukan sahaja berjaya bangkit malah terus berkembang sehingga menjadi tunjang kepada Kerajaan Malaysia Madani hari ini.
Beliau berkata, kekuatan parti itu terletak pada cita-cita Reformasi yang berasaskan keadilan, tadbir urus baik, pembanterasan rasuah serta peluang yang lebih saksama untuk rakyat, bukannya bergantung kepada seorang pemimpin semata-mata.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim sememangnya simbol dan wajah yang menggerakkan perjuangan ini selama lebih dua dekad. Namun simbol tidak harus dikelirukan dengan institusi.
“Seperti mana-mana organisasi politik yang matang, pemimpin akan datang dan pergi, tetapi nilai serta perjuangan mesti diteruskan,” ujarnya.
Mengulas dakwaan bahawa Keadilan ketandusan pelapis kepimpinan, Loh berkata, pandangan itu tidak mengambil kira realiti perkembangan parti yang kini mempunyai gabungan pemimpin berpengalaman dan generasi baharu yang telah membuktikan kemampuan mereka di pelbagai peringkat.
Katanya, proses melahirkan kepimpinan bukan berlaku dalam satu pilihan raya atau satu pemilihan parti, sebaliknya merupakan usaha berterusan yang telah lama menjadi kekuatan Keadilan.
“Datuk Seri Rafizi Ramli sendiri merupakan produk yang dilahirkan oleh Keadilan.
“Malah, ramai tokoh politik yang pernah dibentuk dan dibesarkan dalam parti ini masih memainkan peranan penting dalam landskap politik negara, sekali gus membuktikan Keadilan sentiasa menjadi medan melahirkan bakat dan kepimpinan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa parti tidak boleh terlalu tertumpu kepada perbahasan mengenai individu yang bakal memimpin pada masa hadapan sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat.
Menurutnya, rakyat lebih mengutamakan usaha menangani kos sara hidup, meningkatkan pendapatan, memperkukuh institusi negara serta membina ekonomi yang lebih adil.
“Politik yang matang bukan sekadar mencari pengganti individu, tetapi memastikan institusi menjadi lebih kukuh daripada mana-mana tokoh.
“Semangat Reformasi yang lahir pada 1998 tidak pernah bergantung kepada satu nama. Perjuangan ini hidup kerana keyakinan bahawa Malaysia berhak mendapat sistem yang lebih adil, demokratik dan berintegriti,” katanya.
Beliau menegaskan, Keadilan akan terus relevan bukan kerana siapa yang memimpinnya, tetapi kerana nilai yang diperjuangkannya masih menjadi harapan jutaan rakyat Malaysia.
“Pemimpin akan silih berganti. Perjuangan Reformasi mesti terus hidup,” tambah beliau. — MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment