NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Johor akan jadi negeri lebih maju bawah PH - Amirudin



TANGKAK - Pakatan Harapan (PH) berazam untuk mentadbir Johor dengan lebih baik sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengarah Jentera PRN Johor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, PH tidak datang untuk mengganggu atau merosakkan kestabilan negeri, sebaliknya mahu menjadikan Johor sebuah negeri yang lebih maju.

Menurutnya, Johor telah mencapai pelbagai kejayaan sebelum ini namun masih mempunyai ruang besar untuk diperkasakan terutama dari aspek ekonomi, peluang pekerjaan dan pembangunan seimbang di seluruh daerah.

“Kita ingin mentadbir Johor dengan lebih baik. Kita bukan datang hendak mengacau atau mengganggu, tetapi kita datang untuk menjadikan Johor sebuah negeri yang lebih bersinar walaupun negeri ini sudah mencapai prestasi yang baik sebelum ini.

“Saya yakin jika diberikan amanah dan kepimpinan kepada PH, kita mampu meningkatkan lagi nilai ekonomi Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PRN Johor bagi PH di Bukit Gambir.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, Johor mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sama seperti Selangor, dan berpotensi menjadi antara negeri paling maju di negara ini.

Beliau berkata, antara fokus utama PH adalah memastikan rakyat Johor memperoleh peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik sehingga tidak perlu bergantung kepada pekerjaan di Singapura untuk mencari rezeki.

“Anak Johor tidak perlu ke Tambak Johor setiap hari untuk mencari rezeki. Kita akan pastikan lebih banyak peluang ekonomi diwujudkan dalam negeri ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan pembangunan tidak seharusnya tertumpu di Johor Bahru semata-mata, sebaliknya daerah lain seperti Mersing, Kota Tinggi dan kawasan luar bandar perlu menerima perhatian serta pembangunan yang adil.

“Kita mahu memastikan daerah-daerah lain turut maju dan mendapat keadilan dari segi infrastruktur serta pembangunan sebagaimana yang dilaksanakan di negeri-negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang,” katanya.

Mengulas tema kempen PH bagi menghadapi PRN Johor, Amirudin berkata, gabungan itu membawa slogan “Johor Forward” yang menekankan agenda gaji lebih baik, peluang ekonomi lebih luas dan keadilan yang lebih menyeluruh untuk rakyat negeri itu.

“Kita sudah buktikan keupayaan melalui prestasi menteri-menteri PH di peringkat Persekutuan. Jika diberikan peluang pada PRN nanti, kita akan mentadbir Johor dengan lebih baik,” katanya.


Sumber | Sinar Harian









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo