Beliau berkata, masalah dalaman itu termasuk pemecatan, penggantungan dan tindakan keluar parti dalam Bersatu, yang menurutnya menjejaskan kekuatan Perikatan Nasional (PN) kerana membabitkan jumlah ramai.
Walaupun tidak menyebut secara khusus masalah dalaman itu, Hadi mungkin merujuk pemecatan Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin sebagai ahli serta timbalan presiden Bersatu.
Turut dipecat pemimpin menyokongnya seperti Saifuddin Abdullah, Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Dalam tulisan Minda Presiden, Hadi membangkitkan isu seperti tindakan dilihat melemahkan dan memperbodohkan PAS yang cuba meneroka kerjasama dengan lebih banyak parti politik tetapi dihalang Bersatu.
Antara parti Melayu-Islam dan parti bukan Islam disifatkannya ‘tidak ekstrem’ terbabit ialah Berjasa, Pejuang, Iman, Putra dan MIC.
“PAS menyelami keadaan yang salah dan cuba membuat pembetulan terhadap Perlembagaan PN yang bersifat sangat lemah dan menegur perangai yang salah dalam mesyuarat melalui pertemuan khusus dan pertemuan peribadi.
“Namun begitu, tiada tindakan daripada Bersatu yang sibuk dengan masalah dalamannya.
“Akhirnya, PAS terpaksa menelan pahitnya dalam pilihan raya umum, pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri,” katanya menjelaskan sebab PAS membuat keputusan memberhentikan ‘taawun siyasi’ atau kerjasama politik dengan Bersatu, Isnin lalu.
“PAS wajib melakukan sesuatu yang tegas demi perjuangannya yang berprinsip.”
Semalam, Marzuki Mohamad, bekas pegawai Muhyiddin mendakwa Bersatu sudah bersetuju dengan syarat dikemukakan PAS namun tidak sempat membincangkannya apabila rakannya dalam PN itu mengumumkan keputusan mereka.
Antara syarat ialah membenarkan parti Melayu-Islam lain menyertai PN serta berdamai dengan kumpulan bekas pemimpin Bersatu diketuai Hamzah.
Hadi dalam tulisan itu turut mendakwa, Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin bertindak ‘rakus’ dalam pembahagian kerusi pilihan raya sehingga menyebabkan ahli PAS terpaksa bekerja untuk calon Bersatu.
Beliau mendakwa, Bersatu tidak mengambil kira kelayakan calon, kemampuan jentera dan jumlah ahli ketika rundingan kerusi pilihan raya.
Tegasnya, keadaan itu juga menjadi antara punca PAS bertindak menamatkan kerjasama.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment