BANGI, 23 ZULKAEDAH – Hari ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap barisan kepimpinan tertinggi UMNO di Istana Besar Johor sempena sambutan ulangtahun ke-80 parti itu di Johor Bahru.
Baginda turut berkenan bergambar bersama kepimpinan UMNO di Tangga Selat sebagai simbolik meraikan penubuhan parti itu di istana berkenaan pada 11 Mei 1946.
Ditubuhkan bagi menentang Malayan Union, sama ada suka atau tidak UMNO bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi institusi yang pernah menguasai pembinaan negara moden Malaysia selama lebih enam dekad.
Daripada perjuangan kemerdekaan hingga pembentukan dasar ekonomi negara, hampir seluruh perjalanan politik pasca merdeka negara tidak dapat dipisahkan daripada nama UMNO, parti yang pernah menjadi simbol kekuatan politik Melayu, tunjang kestabilan kerajaan dan pusat kuasa yang menentukan hala tuju negara.
Zaman sudah berubah
Namun pada sambutan ulang tahun ke-80 hari ini, UMNO hadir dalam suasana yang jauh berbeza berbanding era kegemilangan sebelum ini.
Dahulu, nama UMNO menggerunkan dan dianggap terlalu besar untuk ditewaskan. Hari ini, parti itu bergelut untuk membuktikan masih relevan dalam landskap politik yang berubah pantas.
Kekalahan UMNO yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 menjadi titik perubahan paling besar dalam sejarah parti itu.
Buat kali pertama sejak merdeka, UMNO kehilangan kuasa di peringkat Persekutuan. Kekalahan itu bukan sahaja menggugat penguasaan politik UMNO, malah memecahkan persepsi bahawa parti itu adalah pemerintah semula jadi negara ini.
Walaupun UMNO melalui Barisan Nasional (BN) kembali menjadi sebahagian kerajaan selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca PRU15, kedudukan parti itu tidak lagi sama seperti dahulu.
UMNO bukan lagi kuasa dominan yang boleh menentukan segala-galanya secara bersendirian, sebaliknya hanya menjadi antara komponen dalam formula politik baharu yang lebih kompleks dan rapuh.
Perubahan terbesar yang sedang dihadapi UMNO hari ini ialah hakikat bahawa politik Melayu sudah tidak lagi bersifat monopoli. Selama puluhan tahun, UMNO berjaya mengekalkan pengaruh kerana dianggap sebagai satu-satunya saluran politik utama orang Melayu.
Cabaran PAS dan Perikatan Nasional
Landskap politik negara berubah secara drastik selepas PRU15. Kemunculan seteru lama, PAS sebagai kuasa politik nasional yang lebih besar dan kehadiran serpihan UMNO, iaitu Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) sebagai blok alternatif Melayu-Islam mengancam kedudukan parti itu.
Di kebanyakan negeri yang menjadi pangkalan orang Melayu, UMNO kalah teruk. Di Terengganu sebagai contoh, UMNO dilenyapkan sepenuhnya.
Perubahan pola pengundi Melayu menjadikan cabaran UMNO untuk terus bernafas semakin sukar. Generasi muda hari ini tidak lagi mempunyai hubungan emosi dengan sejarah perjuangan UMNO seperti generasi terdahulu.
Bagi kelompok pengundi baharu, soal kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan dan integriti lebih mempengaruhi pilihan politik berbanding nostalgia sejarah kemerdekaan atau jasa pembangunan masa lampau.
UMNO berdepan cabaran paling besar dalam sejarah kerana masih cuba mengekalkan identiti tradisional sebagai parti pilihan orang Melayu dan pada masa sama, perlu menyesuaikan diri dengan tuntutan politik moden yang lebih terbuka, pantas dan dipengaruhi media sosial.
Krisis identiti yang UMNO hadapi semakin jelas apabila parti itu terpaksa bergerak dalam keadaan serba salah.
Jika terlalu sederhana dan pragmatik, UMNO berisiko kehilangan sokongan pengundi Melayu konservatif kepada PN dan PAS. Jika terlalu keras memainkan sentimen Melayu-Islam, parti itu berdepan kesukaran mengekalkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).
Keadaan ini menyebabkan UMNO dilihat masih belum benar-benar menemui bentuk baharu politik selepas kehilangan kuasa mutlak. Parti itu kini berada di persimpangan antara mahu kekal sebagai parti nasional sederhana atau kembali menjadi parti nasionalis Melayu yang lebih agresif.
Pada masa sama, UMNO dibayangi beban persepsi lampau, terutama berkaitan isu rasuah dan skandal politik yang memberi kesan besar terhadap imej parti itu sejak sedekad lalu.
Walaupun kepimpinan parti cuba membawa naratif pembaharuan, persepsi negatif dalam kalangan sebahagian pengundi, terutama generasi muda dan masyarakat bandar, masih sukar dipadamkan sepenuhnya.
Malah isu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyebabkan parti itu terpaksa bersikap defensif.
Cabaran menjadi lebih besar dalam era politik digital apabila persepsi dibentuk dengan sangat pantas menerusi media sosial. Dalam suasana politik baharu, imej dan persepsi kadang-kadang lebih mempengaruhi pengundi berbanding kekuatan organisasi atau sejarah panjang sesebuah parti.
Naratif baharu 80 tahun
Terlalu awal untuk menghukum UMNO sedang menuju ke pengakhiran politik. Sehingga hari ini, parti itu masih memiliki kelebihan yang sukar ditandingi lawan, terutama dari segi struktur organisasi dan pengalaman politik.
UMNO masih mempunyai rangkaian akar umbi yang luas melalui bahagian dan cawangan di seluruh negara. Struktur organisasi ini selama puluhan tahun menjadi kekuatan utama parti itu. Dalam banyak keadaan, jentera akar umbi UMNO masih dianggap antara yang paling tersusun dan berpengalaman dalam politik Malaysia.
Sejarah juga menunjukkan UMNO mempunyai kemampuan bertahan yang luar biasa. Parti itu pernah melalui krisis besar termasuk diharamkan pada 1988, perpecahan dalaman, kehilangan tokoh utama dan kekalahan besar dalam pilihan raya.
Namun UMNO tetap berjaya bertahan dan menyesuaikan diri dengan perubahan politik semasa.
Malah keadaan pasca PRU15 menunjukkan pembentukan Kerajaan Pusat dan beberapa negeri hanya menjadi kenyataan hasil kerjasama UMNO untuk membentuk kestabilan kerajaan.
UMNO masih mempunyai nilai strategik dalam politik negara walaupun mungkin tidak lagi cukup kuat untuk memerintah sendirian. Namun, parti itu masih cukup penting untuk menentukan keseimbangan kuasa.
Persoalan terbesar ketika UMNO memasuki usia 80 tahun ialah sama ada parti itu mampu melakukan pembaharuan sebenar sebelum berdepan kemerosotan yang lebih serius. Masa depan UMNO tidak lagi boleh bergantung kepada nostalgia sejarah atau legasi perjuangan semata-mata.
Sebaliknya, parti itu perlu membina naratif baharu yang lebih dekat dengan realiti generasi muda dan cabaran ekonomi masa depan.
UMNO perlu membuktikan bahawa ia bukan sekadar parti bersejarah, tetapi masih mempunyai idea, kepimpinan dan kemampuan untuk menawarkan penyelesaian kepada masalah semasa rakyat.
Jika gagal menyesuaikan diri dengan perubahan zaman, UMNO berisiko menjadi seperti banyak parti besar dunia yang akhirnya tenggelam selepas gagal memahami perubahan masyarakat.
Namun jika berjaya melakukan reformasi dalaman dan membina semula keyakinan rakyat, UMNO masih mempunyai peluang untuk terus menjadi antara kuasa utama politik Malaysia.
Pada usia 80 tahun, UMNO berdepan ujian paling penting dalam sejarahnya, bukan setakat untuk mendapatkan kuasa, tetapi terus kekal relevan dalam sebuah negara dan masyarakat yang sudah banyak berubah.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment