NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tidak mustahil PRU diadakan lebih awal jika Kerajaan Perpaduan terus digugat - Anwar



JOHOR BAHRU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan kemungkinan membubarkan Parlimen untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) lebih awal jika rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan terus bertindak menggugat kestabilan politik di negara ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pendirian tersebut diambil susulan keputusan UMNO dan Barisan Nasional untuk bertanding di semua kerusi di Johor.

Anwar berkata, jika rakan kerjasama memilih untuk "bertempur” dan meretakkan hubungan, beliau tidak teragak-agak untuk memulangkan semula mandat kepada rakyat bagi menentukan masa depan kepimpinan negara.

"Malah, dalam tempoh terdekat saya kena panggil pimpinan PH untuk berunding... kita harus berfikir secara serius... kalau inilah cara kita memperkotak-katikkan dan meretakkan hubungan dalam kerajaan, apakah mungkin kita pilih untuk mengadakan Pilihan Raya Umum seluruh negara?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada kemuncak Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Anwar juga berkata, walaupun keputusan muktamad mengenai tarikh PRU adalah di bawah bidang kuasa Perdana Menteri namun beliau akan tetap mengadakan perbincangan bersama dengan pimpinan PH sebelum mengambil sebarang langkah drastik.

Beliau turut memberi amaran keras bahawa PH sudah bersedia untuk meletakkan calon di semua kerusi di Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka, Pulau Pinang dan Pahang jika rundingan politik menemui jalan buntu.

"Kalau inilah pilihan mereka, PH akan bertanding di semua kawasan …dan kita pantau seluruhnya... saya akan bincang (dengan) kawan-kawan, apakah kita bersedia untuk lakukan segera (PRU)?” katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, beliau masih mengutamakan pendekatan sabar dan mahu menyelamatkan negara melalui kestabilan politik demi memastikan kemakmuran ekonomi terus terpelihara.

"Tapi saya sebut tadi, kalau mereka yang mula melanggar, kita jawab dengan tegas… kalau mereka berunding dengan baik, kita ini orang baik, sabar, bijak dan mahu selamatkan negara,” katanya.

Justeru, Anwar menyeru seluruh jentera PH agar berada dalam keadaan siap siaga dan tidak gentar sekiranya terpaksa berdepan siri pilihan raya dalam masa terdekat demi mempertahankan prinsip perjuangan parti.- Bernama 











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo