NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Semak maksud ‘kaduk naik junjung’, mungkin itu jawapannya’ – Asyraf Wajdi



  • Kali ini, Pengerusi MARA itu memulangkan paku buah keras dengan menyindir tindakan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP yang perlu menyemak kamus peribahasa semata-mata untuk memahami maksud ‘kaduk naik junjung’.
  • Beliau turut menegaskan bahawa Tony telah melampaui batas, dipercayai meujuk kepada kenyataan bekas Setiausaha Publisiti DAP tersebut berkaitan titah Sultan Selangor sebelum ini.
  • “Jika seseorang itu perlu menyemak kamus peribahasa semata-mata untuk memaham mengapa orang mengatakan ‘kaduk naik junjung’, mungkin itu sendiri sudah menjadi jawapannya. Tony Pua, anda telah melampaui batas.” katanya di laman Facebook.

KUALA LUMPUR – ‘Perang’ di media sosial antara Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan bekas ahli Parlimen DAP, Tony Pua terus berlarutan dengan masing-masing berbalas kenyataan susulan isu titah Sultan Selangor baru-baru ini. 

Kali ini, Pengerusi MARA itu memulangkan paku buah keras dengan menyindir tindakan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP yang perlu menyemak kamus peribahasa semata-mata untuk memahami maksud ‘kaduk naik junjung’.

Beliau turut menegaskan bahawa Tony telah melampaui batas, dipercayai merujuk kepada kenyataan bekas Setiausaha Publisiti DAP tersebut berkaitan titah Sultan Selangor sebelum ini.

“Jika seseorang itu perlu menyemak kamus peribahasa semata-mata untuk memahami mengapa orang mengatakan ‘kaduk naik junjung’, mungkin itu sendiri sudah menjadi jawapannya. Tony Pua, anda telah melampaui batas.” katanya di laman Facebook.

Tony sebelum ini yang mengaku beliau menyemak semula peribahasa ‘bagai kaduk sudah naik junjung’ yang digunakan oleh Asyraf Wajdi terhadapnya.

“Peribahasa bagai kaduk naik junjung bermaksud perihal seseorang daripada golongan yang hina (atau orang biasa) yang mendapat pangkat, kedudukan, atau penghormatan, lalu menjadi lupa diri, sombong, dan berkelakuan berlebihan (mengada-ngada).

“Ah,” jawabnya ringkas yang mungkin menujukan kembali peribahasa itu kepada Asyraf.

Bekas Ahli Parlimen Damansara itu sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan kuasa raja berbeza sedikit mengikut negeri.

Namun secara umumnya, katanya, kuasa raja adalah terhad kepada aspek-aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar serta perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri.

“Rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook Selasa lalu. 

Beliau berkata, sebaliknya negara ini mempunyai Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dianggotai wakil rakyat dipilih oleh rakyat untuk membuat undang-undang dan keputusan tersebut.

Tambah beliau, perkara itu selaras sepenuhnya dengan Rukun Negara khususnya prinsip kedua, ketiga dan keempat iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

“Ya, saya setia kepada Raja dan Negara dan akan mematuhi Kedaulatan Undang-Undang mengikut Perlembagaan Persekutuan. Bukan titah,” katanya.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menitahkan semua ahli dewan undangan negeri (ADUN) di Selangor untuk melawat Dataran Selangor bagi membaca dan memahami makna Rukun Negara yang tertera pada Plak Monumen Rukun Negara di negeri itu.

Sultan Sharafuddin bertitah, lawatan berkenaan sewajarnya dilakukan sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi menghayati prinsip yang menjadi teras utama perpaduan rakyat.

Bagaimanapun, titah khas itu ditujukan secara khusus kepada Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki daripada DAP dan bekas ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) Selangor Ronnie Liu Tian Khiew. – The Merdeka Times





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo