KUALA TERENGGANU - Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli mengecam sekeras-kerasnya penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 yang bermula di Bukit Bintang hari ini dan menyifatkannya sebagai medan promosi pergaulan bebas yang melampau.
Beliau menegaskan, tindakan membiarkan lelaki dan perempuan bercampur gaul dalam suasana pesta air terbuka di ruang awam adalah satu penghinaan kepada status Islam sebagai agama Persekutuan dan mencabar tatasusila masyarakat Malaysia.
"Apa yang berlaku hari ini di Bukit Bintang adalah manifestasi jelas keruntuhan moral yang dinormalisasikan atas nama pelancongan. Kita melihat pergaulan bebas tanpa batas ini berlaku secara terang-terangan.
"Jangan gadaikan nilai agama dan maruah negara semata-mata untuk menarik pelancong asing bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya dalam kenyataan di sini.
Wan Hassan turut membidas sikap berdiam diri kerajaan yang seolah-olah menghalalkan budaya hedonisme tersebut daripada terus berakar umbi dalam kalangan generasi muda.
"Islam melarang keras segala suasana yang boleh membuka jalan kepada kemungkaran. Adakah pihak berkuasa mahu bertanggungjawab sekiranya kerosakan akhlak ini menjadi barah dalam masyarakat kita?
"Kerajaan tidak boleh bersembunyi di sebalik alasan 'kebebasan memilih'. Ruang awam kita bukan tempat untuk mengimport budaya asing yang jelas merosakkan jati diri bangsa," tegas beliau.
Sehubungan itu, beliau menuntut agar baki penganjuran festival tersebut dibatalkan serta-merta dan mendesak satu garis panduan hiburan yang lebih ketat dilaksanakan bagi menjaga keharmonian serta sensitiviti rakyat berbilang kaum di negara ini.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment