NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pusat data AI tidak sebabkan banjir, guna 100% air kitar semula – Amirudin



PETALING JAYA: Dakwaan bahawa pusat data menjadi punca banjir di sekitar Petaling Jaya adalah tidak berasas, memandangkan fasiliti tersebut hanya beroperasi menggunakan sistem penyejukan berasaskan air kitar semula.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pusat data kecerdasan buatan (AI) seperti KL1 Kuala Lumpur oleh NEXTDC bukan punca kewujudan banjir kerana beroperasi menggunakan 100 peratus air kitar semula sebagai sistem penyejukan utama.

Menurutnya, pusat data itu menggunakan teknologi penyejukan ‘liquid direct-to-chip’ bagi menyejukkan komputer melalui sistem gelung tertutup yang menggunakan air kitar semula tanpa memerlukan tambahan bekalan air baharu secara berterusan.

“Sebagai contoh, sistem penyejukan digunakan tidak bergantung sepenuhnya kepada air minuman, manakala di Selangor, kita mempunyai polisi ‘Zero Discharge’ yang menggalakkan syarikat membangunkan sistem kitar semula sendiri demi kelestarian.

“Kita cuba jelaskan kepada orang awam bahawa pusat data moden tidak menggunakan air dan tenaga secara berlebihan seperti tanggapan ramai, malah melalui teknologi kitar semula serta polisi ‘i-Lestari’, sehingga 80 peratus air digunakan di pusat data boleh dikitar semula untuk digunakan semula dalam operasi penyejukan,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran KL1 Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Sebelum ini, tular di aplikasi media sosial Threads berhubung dakwaan seorang individu yang menyatakan bahawa pusat data yang dibina di Petaling Jaya menjadi punca banjir di sekitar kawasan Medan Selera 223 dan Taman Paramount.

Tambah Amiruddin, mengenai bekalan air, negeri masih mempunyai margin simpanan sekitar 18 peratus ketika ini dan Loji Rawatan Air Rasau dijangka siap hujung tahun ini dengan kapasiti 350 juta liter sehari.

Katanya, menjelang 2027 kapasiti itu boleh meningkat kepada 700 juta liter sehari sebelum menjadi loji rawatan air terbesar di Asia Tenggara pada 2029 dengan 1,400 juta liter sehari.

“Dengan tambahan bekalan air tersebut, kerajaan negeri yakin margin simpanan air mampu meningkat melebihi 20 peratus menjelang tahun 2029.

“Selain itu, hasil pemeriksaan kerajaan negeri mendapati isu banjir di kawasan sekitar sebenarnya berpunca daripada kelemahan sistem saliran lama yang memerlukan penambahbaikan segera.

“Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sudah diarahkan melaksanakan kerja menaik taraf sistem perparitan bagi memastikan aliran air lebih lancar ketika hujan lebat berlaku,” katanya.

Sebelum ini, pembinaan tembok banjir atau ‘floodwall’ di kawasan kritikal Sungai Penchala antara langkah utama dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian banjir kilat berulang di sekitar daerah ini termasuk Medan Selera 223, Jalan 223, di sini.

Selain itu, pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan memasang sistem Kawalan Limpahan Sungai (SKaLiS) sebagai usaha mengawal limpahan air ketika hujan lebat. – UTUSAN







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo