Beliau berkata, setiap projek yang dilaksanakan menggunakan dana kerajaan adalah milik rakyat dan bukannya parti politik, justeru istilah yang menggambarkan seolah-olah sesuatu projek dimiliki oleh parti perlu diperbetulkan.
Menurutnya, kerajaan semasa hanya menyempurnakan projek yang tertangguh bagi memastikan ia dapat dimanfaatkan oleh rakyat.
“Mujur ada projek yang Umno buat boleh PAS rasmi! Minta maaf deh, ambe nak perbetulkan ungkapan yang kedengaran kerap diratib.
“Kalau nak ungkapan yang lebih tepat, kerajaan sekarang siapkan projek yang ditinggalkan oleh kerajaan lepas. Kalau nak suruh ada juga nama Umno dan PAS maka boleh guna ayat, Kerajaan PAS rasmi projek tinggalan Kerajaan Umno.
“Memang kita akui beberapa projek seperti Jambatan Angkat Kuala Terengganu dibina zaman kerajaan sesi lepas tapi belum siap. Akhirnya siap pada tahun 2019. Duitnya ialah duit kerajaan, bukan duit Umno atau PAS,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, perubahan kerajaan tidak menjejaskan tanggungjawab untuk meneruskan dan menyiapkan projek yang telah dirancang demi kepentingan awam.
“Apa yang patut kita buat dengan projek ini bila kerajaan bertukar? Yang ambe faham ialah kita perlu siapkan dan rasmikan supaya rakyat boleh guna. Itu sahaja,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menjelaskan isu hutang kerajaan negeri yang ditinggalkan pentadbiran lalu, dengan menegaskan ia merupakan tanggungan kerajaan dan bukannya parti politik.
“Sebagaimana hutang tinggalan Kerajaan Umno dulu, Kerajaan PAS ambik tanggungjawab bayarkan RM600 juta sebab itu bukan hutang Umno tapi hutang kerajaan.
“Pitih (duit) hutang itu untuk buat projek yang bermanfaat bagi rakyat dan bukannya untuk Umno. Sifirnya sangat mudah difahami,” ujarnya.
Mengulas mengenai hentian Rehat dan Rawat (R&R) Jabi di Besut, beliau berkata projek tersebut telah siap dan kini beroperasi dengan mengekalkan nama asal tanpa sebarang perubahan.
Jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, kerajaan tidak berhasrat untuk mengambil kredit mahupun mengadakan majlis perasmian besar-besaran bagi mengelakkan polemik politik.
“Namanya kekal R&R JABI. Kita tak ubah pun dan tak berhajat nak claim apa-apa kredit. Hanya tanggungjawab kita sebagai kerajaan untuk menyiapkannya.
“Bila Majlis Daerah Besut cadang nak buat Majlis Perasmian R&R Jabi, ambe kata tak perlu. Kekgi ada pulop timbul isu, PAS rasmi R&R hok Umno buat!,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/5/2026
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment