NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN Johor: Parti Bersama hasrat tanding semua 56 kerusi DUN



JOHOR BAHRU – Parti Bersama Malaysia (Bersama) Johor menyasarkan untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Timbalan Ketua Penyelaras Jawatankuasa Sementara Bersama Johor, S. Gopalakrishnaan berkata, keputusan masih belum lagi muktamad tetapi ketika ini pihaknya sedang memperhalusinya.

“Kita sedang kenal pasti kerusi yang sesuai untuk ditandingi, namun hasrat kita memang mahu memberi fokus kepada semua 56 DUN di Johor.

“Pemilihan calon bagaimanapun akan diputuskan oleh kepimpinan pusat termasuk kemungkinan membawa masuk nama besar politik ke negeri ini,” ujarnya.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram merangkap bekas Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Johor berkata demikian dalam sidang akhbar di Bandar Baru Uda di sini hari ini.

Antara yang turut hadir bekas Ketua PKR Cabang Sembrong, Abdul Aziz Abd Rahman; bekas Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Sri Gading merangkap Ketua Biro Latihan MPN Johor, Naquib Roseli; bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor merangkap bekas Ketua AMK Tebrau, Nicholas Paul Vincent dan bekas Ketua PKR Cabang Segamat, Francis Sales.

Sementara itu, Ketua Penyelaras Jawatankuasa Sementara Bersama Johor, Abdul Hamid Ali berkata, Johor mencipta sejarah apabila menjadi negeri pertama menubuhkan jawatankuasa Bersama susulan penyertaan bekas pimpinan PKR negeri itu.

Penubuhan jawatankuasa sementara itu dibuat selepas mereka mengambil keputusan meninggalkan PKR kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan serta proses pemilihan parti sebelum ini.

Jelas beliau, kewujudan penubuhan jawatankuasa itu sekali gus menandakan permulaan gerakan rasmi Bersama di Johor sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan PRN akan datang.

Beliau bekas Setiausaha MPN Keadilan Johor itu memberitahu, seramai 2,800 keahlian baharu Bersama sudah direkodkan dalam tempoh seminggu ini.

Abd Hamid berkata, hampir 30 peratus daripada jumlah itu merupakan ahli PKR yang telah lama bersama-sama parti itu sejak sebelum penubuhan kerajaan Madani manakala selebihnya golongan muda dan individu tidak berparti.

“Fokus awal kita memang kepada golongan muda bawah 40 tahun dan setakat ini 49 peratus ahli yang mendaftar adalah individu tidak berparti,” katanya.

Ahad lalu, Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan keluar PKR dan mengambil alih Bersama yang ditubuhkan pada 2016.

Simbolik penyerahan parti itu dibuat pada majlis pengumuman hala tuju politik dua pemimpin terbabit, sekali gus menjawab persoalan sejak beberapa minggu lalu berkaitan hala tuju politik mereka berdua selepas dilihat agak disisihkan PKR sejak setahun lalu.

Pada Isnin lalu, Rafizi dan Nik Nazmi menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul, untuk memaklumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai Ahli Parlimen Pandan serta Setiawangsa.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan bagi kedua-dua kerusi Parlimen itu selepas diisytiharkan kosong.- MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo