NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS-BERSATU: Kaji semula hubungan adalah proses biasa




KUALA LUMPUR: PAS berpendirian untuk melakukan kajian semula hubungan kerjasama politik antara dengan BERSATU merupakan satu proses muhasabah serta refleksi biasa dilakukan dalam mana-mana organisasi.

Setiausaha Politik Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, proses penilaian tersebut amat penting bagi melihat kesemua aspek secara menyeluruh demi memperbetul serta memperbaiki ruang kerjasama sedia ada.

Beliau menyamakan kaedah penilaian berkenaan dengan amalan tadbir urus kerajaan yang lazimnya mempunyai instrumen penilaian berkala bagi memastikan objektif organisasi tercapai.

“Muhasabah itu perkara biasa. Kajian semula juga proses yang biasa. Contohnya Belanjawan dan RMK (Rancangan Malaysia), terdapat kajian separuh penggal; itu amalan biasa.

“Kajian semula bertujuan untuk menilai semua aspek, sama ada positif mahupun negatif. Tempoh refleksi dan ruang konsultasi untuk memperbetul serta memperbaiki – apa yang perlu ditambah, ditolak, dikekalkan atau diganti,” katanya.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan menyenaraikan beberapa isu menyatakan bahawa akan mengkaji semula hubungan dengan parti itu, semasa sidang media di Rusila, Marang pada Jumaat lalu.

Antaranya melibatkan tindakan BERSATU terhadap PAS dalam komponen Perikatan Nasional (PN) khususnya berkaitan isu ‘setia kawan’ di Perlis dan Negeri Sembilan, selain tindakan ke atas anggotanya di Kedah dan Kelantan.

Beliau turut menyatakan rasa tidak senang terhadap penolakan BERSATU untuk beberapa parti Melayu-Islam dan parti bukan-Islam yang tidak ekstrem untuk menyertai PN, sekali gus bertentangan tujuan asal penubuhan gabungan itu.

Ahli Parlimen Marang itu juga menegaskan PAS tidak kecewa dan tetap bersabar, namun sabar ada batasnya di mana antara lain BERSATU dikatakan mahu banyak kemukakan banyak calon pada pilihan raya, tetapi tiada jentera.

Pendirian Tuan Guru tersebut telah diambil kesempatan oleh beberapa pimpinan BERSATU, termasuk lawan yang cuba menggambarkan PAS sebagai sebuah parti yang mendominasi rakan sekutunya secara diktator.

Syahir yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS sehubungan turut membidas sekeras-kerasnya tanggapan serong pihak luar melabel PAS sebagai sebuah ‘parti mullah’ atau mengamalkan sistem kepimpinan diktator.

Beliau menjelaskan bahawa struktur pentadbiran PAS bergerak secara sistematik dengan berpaksikan institusi syura serta mempunyai mekanisme semak dan imbang yang sangat ketat di setiap peringkat kepimpinan.

“PAS parti mullah, diktator? PAS mengamalkan syura dan musyawarah, dengan Al-Quran dan Sunnah sebagai sumber tertinggi. PAS mempunyai mekanisme ‘semak dan imbang’ di setiap peringkat, termasuk terhadap Mursyidul Am dan Presiden; tiada yang terkecuali,” tegas beliau.

Menjawab dakwaan kononnya segala ketetapan parti hanya ditentukan oleh figura tertentu, Syahir menegaskan bahawa setiap keputusan besar PAS adalah hasil muafakat yang melibatkan suara akar umbi sehinggalah ke peringkat pembuat dasar tertinggi.

“Keputusan PAS dibuat secara kolektif, daripada akar umbi hingga ke peringkat Pusat dan Majlis Syura; bukan ditentukan dari Rusila. Inilah yang menjadikan PAS sentiasa dikawal dan terkawal, insya-Allah. _‘Trust the process’_,” katanya.

PAS Pusat difahamkan telah mendengar laporan mengenai hubungan PAS dan BERSATU di negeri-negeri yang kemudian ditegaskan Tuan Guru Abdul Hadi akan dibawa ke Majlis Syura Ulama PAS, setelah Mesyuarat Khas di Kuala Terengganu, pagi tadi. – HARAKAHDAILY 24/5/2026





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo