KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail menegaskan beliau tidak pernah dan tidak akan sesekali mengkhianati mandat rakyat Ampang.
Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan berkata, amanah yang diberikan oleh rakyat itu akan terus dijunjung setiap hari sama ada di Parlimen, di lapangan bersama masyarakat, dalam perbincangan dasar, mahupun dalam apa jua ruang yang membolehkan suara rakyat Ampang dibawa dan diperjuangkan.
Jelasnya, kerusi Parlimen Ampang bukan milik mana-mana individu atau kelompok, sebaliknya kerusi itu adalah amanah rakyat.
“Selagi rakyat masih memberi kepercayaan kepada saya, selagi itulah saya akan terus bekerja dan berkhidmat dengan penuh tanggungjawab, maruah dan integriti.
“Ampang memerlukan kestabilan, khidmat dan penyelesaian, bukan politik yang hanya menambah perpecahan dan keresahan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kenyataan itu susulan desakan supaya beliau mengosongkan kerusi Parlimen Ampang selepas didakwa tidak mencerminkan semangat perjuangan dan kesetiaan kepada pimpinan PKR.
Desakan itu disuarakan Timbalan Ketua Cabang PKR Ampang, Daing Muhammad Redzuan Bachok yang berkata, tindakan Rodziah yang dilihat semakin menjauh daripada pendirian dan kepimpinan utama sejak kebelakangan ini mencetuskan keresahan besar dalam kalangan ahli serta penyokong parti di peringkat akar umbi.
Sementara itu, Rodzia berkata, apa yang lebih penting ketika ini ialah memastikan kestabilan politik negara terus dipelihara agar tumpuan dapat diberikan kepada usaha memulihkan ekonomi, mengembalikan keyakinan rakyat serta memastikan kebajikan rakyat tidak terabai akibat ketegangan politik yang berpanjangan.
Jelas Rodziah, beliau telah melalui perjalanan politik yang panjang serta penuh cabaran dan pengorbanan.
Oleh itu, ujarnya, beliau tidak mudah tergugat dengan tuduhan atau label yang dilemparkan hanya kerana wujud perbezaan pandangan dan pendekatan dalam menanggapi sesuatu perkara.
“Dalam sebuah demokrasi yang matang, mendengar pandangan yang berbeza bukan suatu kesalahan. Bertanya bukan penderhakaan. Berfikir sebelum membuat keputusan juga bukan pengkhianatan.
“Kematangan politik menuntut kita untuk mengurus perbezaan dengan kebijaksanaan, bukan dengan ketakutan atau tuduhan melulu,” katanya.
Kelmarin, Rodziah antara pemimpin PKR yang hadir pada majlis pengumuman hala tuju politik bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment