KUALA LUMPUR – Dewan Muslimat Pas Malaysia membantah keputusan kerajaan yang memberi laluan kepada lulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan sektor perkhidmatan awam, kerana disifatkan bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta berpotensi menghakis identiti nasional.
Ketuanya, Nuridah Salleh berkata, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, selaras dengan Akta Pendidikan 1996 yang menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan negara.
Menurut beliau, sistem UEC yang dilaksanakan di sekolah persendirian Cina tidak menggunakan kurikulum kebangsaan secara menyeluruh selain tidak mewajibkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama pendidikan.
“Keadaan ini menimbulkan persoalan besar terhadap keserasian UEC dengan dasar pendidikan nasional serta semangat pembinaan negara bangsa Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengiktirafan rasmi terhadap UEC juga dikhuatiri melemahkan usaha penyatuan rakyat menerusi satu sistem pendidikan kebangsaan yang selama ini menjadi asas perpaduan negara.
Pada masa sama katanya, lepasan institusi pendidikan lain termasuk tahfiz, sekolah agama rakyat dan aliran agama tetap diwajibkan memenuhi syarat peperiksaan awam kebangsaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebelum melanjutkan pengajian ke IPTA.
“Adalah tidak wajar sebuah sistem peperiksaan yang berada di luar kerangka pendidikan nasional diberikan laluan istimewa tanpa memenuhi asas yang sama,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan, bantahan terhadap pengiktirafan UEC bukan bermaksud menolak hak pendidikan mana-mana kaum atau komuniti, sebaliknya bertujuan mempertahankan asas Perlembagaan, kedaulatan bahasa kebangsaan dan prinsip keadilan dalam sistem pendidikan negara.
Sehubungan itu, Dewan Muslimat Pas Malaysia menyeru kerajaan supaya mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan, menolak pengiktirafan rasmi UEC tanpa pematuhan kepada sistem pendidikan nasional serta memperkasa sistem pendidikan kebangsaan sebagai medium perpaduan rakyat berbilang kaum.
Menurut beliau, Bahasa Melayu juga perlu terus diutamakan sebagai bahasa ilmu dan bahasa penyatuan negara demi memastikan kestabilan serta keharmonian Malaysia terus terpelihara. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment