NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MCA desak kerajaan jelaskan kerugian RM46.67 juta dikaitkan Bandar Malaysia




SHAH ALAM – MCA mendesak kerajaan tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan kerugian sebanyak RM46.67 juta yang dikaitkan dengan sebuah tanah strategik milik negara dikenali sebagai Bandar Malaysia.

Pengerusi Biro Penerangan MCA, Chan Quin Er berkata, pendedahan dibuat Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong itu perlu dipandang serius kerana Bandar Malaysia sebelum ini diumumkan sebagai antara projek pembangunan strategik terbesar negara yang mempunyai nilai ekonomi tinggi.

Menurutnya, projek berkenaan juga mempunyai potensi besar dalam merancakkan pelaburan, pembangunan bandar dan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Namun, pendedahan mengenai kerugian ini pasti menimbulkan persoalan besar terhadap tahap pengurusan, pemantauan dan tata kelola projek tersebut.

“Apa yang lebih membimbangkan, sehingga hari ini, kerajaan dilihat masih membisu tanpa sebarang penjelasan yang jelas, telus dan meyakinkan rakyat,” kata Quin Er dalam satu kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, pendedahan itu dibuat oleh Ka Siong pada 12 Mei menerusi satu video di TikTok dan kenyataan media berkaitan isu pampasan serta perjanjian tanah Bandar Malaysia.

Mengulas lanjut, Quin Er berkata, dakwaan melibatkan kerugian wang rakyat dalam jumlah besar tidak boleh dipandang ringan dan menuntut penjelasan daripada pihak kerajaan.

Menurutnya, tindakan kerajaan terus berdiam diri hanya akan menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai tahap akauntabiliti dan ketelusan dalam menguruskan projek berskala besar yang melibatkan kepentingan awam.

Beliau berkata, rakyat berhak mengetahui pihak yang bertanggungjawab terhadap tata kelola Bandar Malaysia serta bagaimana kerugian sebesar itu boleh berlaku.

Selain itu katanya, kerajaan juga perlu menjelaskan langkah yang akan diambil bagi memastikan wang rakyat tidak terus hangus akibat kegagalan tata kelola pentadbiran.

“Dalam keadaan rakyat terus berdepan tekanan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi dan cabaran kewangan yang semakin meningkat, setiap sen wang awam mesti diurus dengan penuh tanggungjawab, amanah dan ketelusan.

“Rakyat bekerja keras dan membayar cukai kepada negara, justeru mereka berhak mendapat jawapan yang jelas terhadap setiap isu yang melibatkan kerugian wang awam,” katanya.

Quin Er turut menegaskan rakyat tidak mahu lagi melihat episod ketirisan, kelemahan pentadbiran dan kegagalan tata kelola terus berulang tanpa ada mana-mana pihak dipertanggungjawabkan.

Tambahnya, ketelusan dan akauntabiliti bukan sekadar slogan politik, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan.


Sumber | Sinar Harian











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo