NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan perlu perketat hukuman pemandu mabuk, pengaruh dadah - Yuneswaran



KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas termasuk hukuman penjara mandatori yang lebih berat terhadap individu yang memandu dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran berkata, pesalah yang menyebabkan kematian atau kecederaan serius kepada orang lain juga wajar digantung lesen memandu seumur hidup.

Menurutnya, kajian menyeluruh terhadap pindaan Akta Pengangkutan Jalan perlu dilaksanakan bagi memperuntukkan hukuman lebih berat dan lebih spesifik terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol serta dadah.

"Sudah tiba masanya negara mengambil pendirian tegas bahawa memandu dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh dadah bukan sekadar kesalahan jalan raya, sebaliknya ancaman kepada keselamatan awam,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga disaran mengambil tindakan tegas terhadap premis penjualan arak tanpa lesen termasuk penutupan premis dan pembatalan lesen perniagaan serta larangan penjualan berhampiran kawasan perumahan, rumah ibadat, sekolah dan institusi pendidikan.

Yuneswaran berkata, kerajaan juga perlu meneliti semula had waktu penjualan alkohol serta menghentikan paparan terbuka produk berkenaan di kaunter dan rak jualan seperti kawalan terhadap produk rokok.

"Penjualan alkohol secara 24 jam di kedai runcit perlu dikaji semula dan dihadkan kepada waktu tertentu seperti dilaksanakan di negara jiran. Penguatkuasaan terhadap penjualan alkohol kepada golongan muda juga mesti diperketatkan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya operasi sekatan jalan raya dan pemeriksaan secara besar-besaran dipergiatkan terutama pada waktu malam, hujung minggu serta musim perayaan.

Terdahulu, beliau menziarahi keluarga mendiang A Doraisingam dan A Menagah, pasangan suami isteri yang maut selepas dirempuh pemandu mabuk di Jalan Ampang di sini, awal bulan ini.

Yuneswaran berkata, tragedi seperti itu tidak boleh terus dianggap sebagai kes terpencil kerana setiap kelemahan penguatkuasaan hari ini boleh menjadi punca kehilangan nyawa dan kehancuran sebuah keluarga pada masa hadapan.

Beliau turut berharap keadilan sewajarnya dapat ditegakkan buat keluarga mangsa selain menyeru semua pihak mengambil iktibar daripada tragedi berkenaan demi memastikan keselamatan rakyat terus menjadi keutamaan negara. - Bernama






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo