NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kedudukan Indeks Kebebasan Media 2026 cermin kegagalan reformasi kerajaan - Wan Saiful



SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk tidak lagi berselindung di sebalik retorik reformasi berikutan kemerosotan kedudukan Malaysia dalam World Press Freedom Index (Indeks Kebebasan Media Sedunia) 2026 yang diumumkan baru-baru ini.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kejatuhan Malaysia ke tangga ke-95 berbanding tangga ke-88 pada tahun lalu bukan sekadar angka, sebaliknya isyarat jelas bahawa komitmen kerajaan terhadap kebebasan media kini dipersoalkan.

Menurutnya, prestasi Malaysia menunjukkan corak tidak konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bermula dari kedudukan ke-73 pada 2023, jatuh ke tangga 107 (2024), sebelum naik sedikit ke tangga 88 pada 2025 dan kembali merosot tahun ini.

"Ini membuktikan bahawa reformasi yang dicanang tidak berakar dan gagal diterjemahkan secara konsisten.

"Penurunan skor kepada sekitar 52 mata mengukuhkan lagi tanggapan bahawa ruang kebebasan media di negara ini masih terikat dengan pelbagai bentuk tekanan, termasuk penggunaan undang-undang terhadap laporan kritikal serta kandungan dalam talian," ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Wan Saiful turut menarik perhatian mengenai kegagalan kerajaan menunaikan janji untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 yang disifatkan sebagai jurang besar antara janji dan realiti.

Jelasnya, akta berkenaan dilihat terus digunakan terhadap rakyat yang mengkritik kerajaan, sekali gus mewujudkan suasana takut serta mengekang kebebasan bersuara.

Beliau memberi amaran bahawa kemerosotan ini akan memberi impak besar kepada fungsi semak dan imbang demokrasi serta menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi negara dalam jangka panjang.

Malah dari sudut ekonomi, beliau menegaskan, kebebasan media berkait rapat dengan tahap ketelusan dan tadbir urus yang menjadi kayu ukur kepada pelabur asing.

"Negara yang dilihat mengekang kebebasan media berisiko dianggap mempunyai tahap ketelusan yang lebih rendah, sekali gus menjejaskan keyakinan pelabur yang mementingkan kestabilan institusi dan kebolehramalan dasar," ujarnya.

Sehubungan itu, Wan Saiful menggesa kerajaan supaya segera menyatakan pendirian yang jelas dan telus berhubung komitmen terhadap kebebasan media di negara ini.

​Beliau turut menuntut agar kerajaan memansuhkan atau menilai semula undang-undang lapuk, khususnya Akta Hasutan 1948, yang didakwa sering disalahguna untuk mengekang kritikan pihak tertentu.

​Selain itu, beliau menegaskan kepentingan pihak pentadbiran untuk memberi jaminan bahawa tidak akan ada sebarang bentuk campur tangan politik dalam operasi harian organisasi media bagi memastikan kebebasan editorial terpelihara.

Menurutnya, kebebasan media bukan merupakan ancaman kepada kerajaan, sebaliknya ia adalah asas kepada akauntabiliti dan kepercayaan rakyat.

"Kegagalan mempertahankannya hanya akan menghakis keyakinan terhadap pentadbiran sedia ada," ujarnya lagi.


Sumber | Sinar Harian











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo