KUALA LUMPUR – DAP digesa menghentikan taktik politik yang mahu mengalih kesalahan dengan menjadikan istana Selangor sebagai sasaran kemarahan masyarakat Cina berhubung isu larangan ladang babi di negeri itu.
Ketua Bahagian MCA Damansara, Tan Gim Tuan berkata, di bawah Perlembagaan Selangor 1959, kuasa eksekutif terletak pada Kerajaan Negeri iaitu Menteri Besar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
“Menteri Besar dan Exco yang akhirnya membuat keputusan muktamad berkenaan pemindahan ladang babi, tidak memperbaharui lesen dan tarikh akhir untuk mengosongkan kawasan.
“DAP memegang empat daripada 10 kerusi Exco dengan ahli kanan parti memegang peranan penting. Mereka kini kehilangan sokongan masyarakat Cina dalam isu ini lalu bermain politik seolah-olah untuk mengalihkan kesalahan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dakwanya, kenyataan awam daripada pemimpin politik yang bertujuan melukis gambaran terutamanya kepada masyarakat Cina bahawa istana adalah pembuat keputusan iaitu ‘penjahat’, manakala DAP pula seolah-olah berdiri menentang.
“Jika bekas Ahli Parlimen itu benar-benar menentang larangan ladang babi dan menghormati kedaulatan undang-undang, sasaran yang betul ialah rakan Exco dari gabungan Pakatan Harapan sendiri, bukannya istana.
“Jika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki benar-benar mahu menyelamatkan industri babi, beliau sepatutnya mengemukakan cadangan itu terus kepada rakan DAP dalam Exco, merekalah pembuat keputusan muktamad yang saya yakin sudah sedia maklum tentang cadangan asas sebegitu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Gim Tuan turut berkata, kenyataan Sultan Selangor baru-baru ini mengenai Rukun Negara langsung tidak menyentuh tentang soal keabsahan Titah Diraja dari segi Undang-Undang.
“Majlis Diraja telah menjelaskan Sultan Selangor sentiasa memberi nasihat namun tidak campur tangan dalam keputusan pentadbiran.
“Sultan Selangor juga pernah memberi nasihat tentang isu banjir dan perkara lain sebelum ini.
“Ia adalah peringatan kepada ahli politik, terutamanya DAP supaya tidak mengheret institusi Diraja ke dalam taktik kelangsungan politik,” katanya lagi.
Tambahnya, jika DAP tidak berpuas hati dengan larangan ladang babi, mereka sepatutnya berani memikul tanggungjawab penuh.
“Sasaran mereka sepatutnya Kerajaan Negeri Selangor iaitu tempat keputusan itu dibuat, bukan pintu pagar istana.
“Menyalahkan Sultan Selangor melemahkan Institusi Diraja dan menghakis kepercayaan awam, terutamanya masyarakat Cina terhadap proses tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment