BANGI, 20 ZULKAEDAH – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menggesa dua menteri yang menjaga pendidikan negara meletakkan jawatan susulan keputusan kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai laluan kemasukan ke universiti awam.
Menurutnya, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, gagal mempertahankan Dasar Pendidikan Kebangsaan dalam isu melibatkan saluran kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
“Sepatutnya Menteri Pendidikan Tinggi dan Menteri Pendidikan mesti mempertahankan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan segala yang berhubungan dengannya dalam soal saluran kemasukan ke IPTA di Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Pemimpin veteran PKR yang lantang mengkritik pelbagai dasar kerajaan turut menyifatkan kegagalan kedua-dua menteri berkenaan sebagai sesuatu yang tidak boleh dimaafkan.
“Kegagalan dua orang menteri dari UMNO dan PKR yang menjaga amanah bangsa untuk mempertahankan Dasar Pendidikan Negara dalam isu pengiktirafan peperiksaan UEC ini tidak boleh dimaafkan.
“Mereka berdua perlu meletakkan jawatan dengan segera,” katanya.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi kenyataan semalam memaklumkan, calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta SMPC/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.
Bagi calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program dikenal pasti ialah Diploma dan Sarjana Muda Dakwah, Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah, Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz serta Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah).
Bagi calon lepasan SMPC/UEC pula, antara program dikenal pasti ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment