NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu ternakan babi: Pas Selangor desak Weng San letak jawatan Speaker DUN



KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Selangor menggesa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San  meletakkan jawatan susulan kontroversi melibatkan isu penternakan babi yang dibangkitkan dalam sidang DUN yang turut mendapat teguran terbuka daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya menjunjung kasih atas titah tegas Sultan Selangor yang mengingatkan semua pihak supaya memahami dan menghayati prinsip Rukun Negara khususnya berkaitan kesopanan, kesusilaan serta penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan.

Malah, menurut beliau, teguran terbuka Sultan Selangor  terhadap Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco DAP, Ronnie Liu membuktikan tahap kebiadaban politik yang berlaku kini sudah melampaui batas.

“Tindakan Ronnie Liu yang masih mencadangkan pengusaha babi mengambil tindakan undang-undang selepas isu itu mendapat perhatian serius Istana Selangor menunjukkan sikap angkuh serta gagal memahami sensitiviti rakyat dan semangat Rukun Negara.

“Mereka bercakap tentang demokrasi tetapi gagal memahami adab terhadap Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang kestabilan negara.

“Mereka melaungkan perpaduan, namun tindakan dan ucapan mereka berkali-kali menyinggung institusi yang menjadi payung kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mendakwa, rakyat melihat pelbagai insiden yang memperlihatkan kegagalan pimpinan DAP menghormati adab, tradisi serta semangat Perlembagaan negara.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan Siew Ki sepatutnya lebih matang ketika sidang DUN berlangsung, khususnya ketika menjunjung titah Sultan Selangor dan bukannya membangkitkan semula polemik yang mencetuskan keresahan rakyat.

Mohamed Sukri turut mempersoalkan kegagalan Speaker DUN Selangor mengambil tindakan tegas dan segera terhadap isu berkenaan yang menurutnya memperlihatkan kelemahan dalam mempertahankan kemuliaan Dewan serta menghormati titah Sultan Selangor.

“Justeru, kami menggesa Speaker Dewan Negeri Selangor meletakkan jawatan sebagai tanda bertanggungjawab atas kegagalan beliau mengawal perjalanan sidang dengan penuh wibawa dan mempertahankan kehormatan institusi negeri,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Selangor mahukan politik yang matang, beradab dan menghormati institusi negara, bukannya politik angkuh yang mencabar sentimen rakyat serta memperlekehkan institusi Raja Berperlembagaan. – MalaysiaGazette













........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo