KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) Selangor mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki untuk mengemukakan permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tindakan itu perlu dilakukan segera susulan teguran tegas baginda yang menzahirkan rasa dukacita terhadap sikap segelintir pemimpin politik berhubung prinsip Rukun Negara dan institusi Raja Berperlembagaan.
Menurut Mohamed Azmin, titah Sultan Selangor yang menyentuh penglibatan Siew Ki serta bekas pemimpin DAP, Ronnie Liu jelas membuktikan isu tersebut bukan lagi sekadar polemik biasa sebaliknya telah menyentuh prinsip asas kenegaraan.
“Titah Sultan Selangor bukan sekadar satu peringatan biasa, tetapi satu teguran yang amat serius terhadap sikap keangkuhan dan kebiadapan segelintir pemimpin politik.
“Mereka dilihat gagal memahami batas adab, kesopanan dan penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu demi memelihara keharmonian dan kesentosaan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohamed Azmin turut menuntut akauntabiliti daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari selaku Ketua Majlis bagi Dewan Negeri Selangor untuk mengambil tindakan tatatertib yang tegas.
“Siew Ki sepatutnya dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Selangor memandangkan Sultan Selangor merupakan tunggak utama kepada institusi legislatif berkenaan.
“Speaker wajib menerima usul tersebut demi mempertahankan kemuliaan, kesucian dan martabat Dewan Negeri Selangor.
“Kegagalan Menteri Besar untuk mengambil tindakan tegas hanya akan memberi persepsi bahawa Dewan Negeri Selangor mengamalkan sikap selektif dua darjat dalam soal disiplin dan penghormatan kepada institusi Raja Berperlembagaan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor itu turut mengingatkan semua wakil rakyat mengenai mandat yang diberikan oleh rakyat datang bersama tanggungjawab yang besar dan bukannya ‘kekebalan’ untuk melanggar prinsip tatasusila.
“PN Selangor berdiri teguh menyokong titah baginda dan isu mempertahankan institusi diraja melangkaui sempadan politik kepartian.
“Mana-mana pihak yang dipilih menjadi wakil rakyat wajib memahami kebebasan bersuara mesti datang dengan tanggungjawab, bukan kekebalan untuk mencabar adab, tatasusila dan prinsip Rukun Negara yang menjadi asas perpaduan negara.
“Kami menyeru semua pihak agar kembali menghormati semangat Rukun Negara dan menjadikan titah Sultan Selangor sebagai pedoman demi memelihara keharmonian, kestabilan dan perpaduan Negeri Selangor,” katanya.
Terdahulu, Sultan Selangor, bertitah menyarankan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco DAP, Ronnie Liu datang seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk memahami dah menghayati makna Rukun Negara.
Titah baginda, ia supaya mereka menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan institusi raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.
Dalam masa sama, Sultan Selangor turut bertitah menyeru kepada semua wakil rakyat Selangor untuk datang sendiri ke Dataran Selangor setiap dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada Plak Monumen di situ.
Sebelum itu, Siew Ki ketika membahaskan titah ucapan Sultan Selangor memohon pertimbangan kerajaan negeri agar memberi ruang kepada penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di negeri berkenaan. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment