BANGI, 20 ZULKAEDAH – Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan kerajaan membenarkan laluan kemasukan lepasan UEC ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), yang menurutnya bertentangan dengan semangat pendidikan kebangsaan.
Beliau berkata, tindakan membawa masuk entiti pendidikan di luar sistem pendidikan nasional ke dalam IPTA memberi implikasi besar terhadap kerangka pendidikan negara.
“Dengan pengiktirafan UEC yang dibuat, sistem nasional kita sekarang sudah terpalit dengan entiti-entiti yang tidak nasional ini,” katanya kepada TV Pertiwi.
Menurut beliau, sebelum ini terdapat pendirian tegas bahawa UEC tidak selari dengan sistem pendidikan negara dan wajar kekal sebagai laluan pendidikan swasta.
“Pendekatan itu sebelum ini sudah memadai tanpa perlu dibawa masuk ke dalam sistem pendidikan nasional.
“Namun, keputusan semalam bukan saja mengubah pendirian terdahulu berkaitan UEC, malah berpotensi membuka ruang kepada implikasi lebih luas terhadap sistem pendidikan awam pada masa akan datang,” katanya kepada TV Pertiwi.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju membenarkan laluan kemasukan pelajar daripada aliran di luar sistem pendidikan kebangsaan termasuk tahfiz dan SMPC/UEC ke program tertentu di IPTA, tertakluk kepada syarat kelayakan, merit serta ketetapan universiti.
Pengumuman itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, dengan sebahagian mempersoalkan sama ada langkah berkenaan membuka ruang kepada pengiktirafan UEC secara tidak langsung.
Sejak sekian lama UEC mendapat tentangan kerana didakwa bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan di bawah Akta Pendidikan 1996. Penggunaan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar utama dalam peperiksaan itu dikhuatiri menjejaskan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan.
Selain itu, kurikulum UEC yang digubal oleh pihak swasta dilihat tidak dikawal selia Lembaga Peperiksaan Malaysia, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kandungan subjek seperti Sejarah yang didakwa kurang menekankan naratif tempatan serta boleh menjejaskan integrasi nasional.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment