JOHOR BAHRU – DAP membisu apabila isu pemilikan saham Tan Sri Azam Baki dan isu perintah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah dana Yayasan Akalbudi demi kepentingan politiknya.
Ketua Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Rasid Abu Bakar berkata, namun apabila ada isu yang memberikan keuntungan politik DAP muncul menjadi jaguh.
“Dalam banyak isu besar negara sebelum ini termasuk Azam Baki, DNAA Zahid Hamidi dan pelbagai dakwaan melibatkan kelemahan institusi, DAP memilih untuk berdiam diri demi kestabilan politik kerajaan.
“Tetapi apabila isu tertentu memberikan ruang untuk mengambil keuntungan politik, tiba-tiba suara mereka menjadi paling lantang.
“Prinsip tidak boleh berubah mengikut keselesaan politik. Jika benar mahu mempertahankan demokrasi dan reformasi, keberanian itu mesti konsisten dalam semua keadaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Timbalan Pengerusi DAP kebangsaan, Nga Kor Ming semalam dilaporkan berkata, kerajaan Johor wajar menimbangkan semula kelulusan lima ADUN lantikan yang didakwa tidak demokratik dan bertentangan Perlembagaan Persekutuan
Menurut Kor Ming, Pakatan Harapan (PH) membantah keputusan tersebut yang jelas menjejaskan sistem demokrasi berparlimen negara kerana Malaysia sebuah negara yang mengamalkan sistem negara demokrasi berparlimen.
Khamis lalu, DUN Johor meluluskan rang undang-undang (RUU) pindaan berhubung cadangan mewujudkan jawatan lima ADUN lantikan dan undian untuk RUU tersebut memperoleh majoriti dua pertiga.
Semasa sesi pembentangan RUU tersebut, Ketua Pengimbang Johor, Andrew Chen Kah Eng mencadangkan keputusan itu ditarik semula kerana mendakwa dibuat secara tergesa-gesa.
Mengulas lanjut, Rasid berkata, kenyataan Kor Ming yang cuba mengambil kedudukan moral tinggi dalam isu ADUN lantikan dilihat lebih kepada percaturan politik persepsi daripada perjuangan prinsip yang sebenar.
Katanya, pada hari RUU tersebut dibahaskan dan diluluskan di DUN, pimpinan DAP dilihat lebih mesra berpesta durian bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) di belakang tabir.
Dalam masa yang sama, katanya, perbahasan pihak pembangkang bagi isu penting seperti itu hanya diberikan sekitar lima minit secara keseluruhan.
“Lebih mengecewakan, Ketua Pembangkang YB Andrew Chen yang diberikan ruang untuk mewakili pembangkang juga tidak menggunakan sepenuhnya masa yang tersedia untuk membahaskan isu tersebut,” dakwanya.
Namun, katanya, selepas semuanya berlalu, tiba-tiba ada pimpinan DAP yang tampil sebagai juara demokrasi dan integriti.
Persoalannya kata beliau, adakah apa yang dibangkitkan itu benar-benar soal prinsip, atau sekadar positioningpolitik selepas melihat reaksi rakyat?
Tambah Rasid, sikap seperti inilah yang menyebabkan rakyat semakin muak dengan politik persepsi dan moral yang bermusim.
“Rakyat tidak lagi menilai siapa paling lantang selepas isu berlaku. Rakyat menilai siapa yang benar-benar berani ketika ia paling diperlukan,” katanya.
Khamis lalu, DUN Johor meluluskan RUU berhubung cadangan mewujudkan jawatan lima ADUN lantikan yang memperoleh majoriti dua pertiga bagi membolehkan pindaan undang-undang negeri dibuat dengan 40 ADUN menyokong manakala 16 lagi menentang.- MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment