Pengerusi UMNO negeri, Jalaluddin Alias berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira krisis yang melibatkan institusi adat dan perlembagaan negeri yang dilihat semakin meruncing.
Menurut beliau, kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO/BN sebulat suara hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.
“Kami amat berdukacita kerana krisis ini berpotensi menjejaskan pentadbiran negeri serta memberi kesan kepada kestabilan kerajaan dan keharmonian rakyat,” katanya dalam sidang media di Wisma UMNO, di sini.
Tambah beliau, pihaknya mendakwa EXCO daripada UMNO/BN tidak dimaklumkan mengenai sebarang perbincangan berkaitan krisis tersebut di peringkat kerajaan negeri, dan hanya mengetahuinya selepas ia menjadi isu besar dalam perhatian umum.
Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu dan ADUN Pertang menegaskan, Menteri Besar sepatutnya memainkan peranan lebih berkesan dalam menangani krisis berkenaan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan komitmen UMNO/BN untuk mempertahankan institusi adat serta Perlembagaan negeri, termasuk Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Keutamaan kami adalah memastikan kerajaan negeri yang stabil supaya pentadbiran dapat berjalan dengan baik dan memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat serta ekonomi negeri,” katanya.
Pemakluman rasmi berhubung penarikan sokongan itu akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, MK Ibrahim Abd Rahman serta Setiausaha DUN.
Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi. Pada Pilihan Raya Negeri 2023, BN membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan selepas memenangi majoriti kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh lima kerusi.

No comments
Post a Comment