JOHOR BAHRU – Sebarang usaha menjatuhkan kerajaan melalui permainan kuasa di belakang tabir adalah satu pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan prinsip demokrasi berperlembagaan.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Fakharuddin Moslim berkata, kepimpinan yang bertanggungjawab sepatutnya memberi fokus kepada penyelesaian masalah rakyat, pembangunan ekonomi serta kestabilan negeri, bukannya mencipta krisis demi kepentingan politik peribadi.
“Cubaan membentuk kerajaan melalui pendekatan ‘tebuk atap’ adalah episod politik yang pernah merosakkan keyakinan rakyat terhadap demokrasi negara apatah lagi ketika ini, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mentadbir Negeri Sembilan dengan cemerlang.
“Negeri Sembilan tidak seharusnya dijadikan medan mengulangi budaya politik songsang yang menafikan suara pengundi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, UMNO Negeri Sembilan wajar dikecam keras atas tindakan tidak bermoral yang sanggup menggugat kestabilan kerajaan negeri demi percaturan kuasa politik sempit.
Katanya, tindakan diketuai Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menarik sokongan terhadap kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan ketika rakyat memerlukan kestabilan, jelas memperlihatkan budaya politik lama yang mementingkan kuasa berbanding rakyat.
Langkah seperti itu dakwanya, bukan sahaja mencetuskan ketidaktentuan politik, malah mengkhianati semangat kerjasama yang dibina demi kesejahteraan negeri.
Tegasnya yang juga Ketua PKR Cabang Tenggara, UMNO Negeri Sembilan perlu sedar bahawa rakyat semakin matang menilai.
“Rakyat Negeri Sembilan berhak menolak politik oportunis seperti ini dan mempertahankan prinsip bahawa kerajaan harus dibentuk melalui mandat pilihan raya, bukan melalui percaturan rakus yang mencemarkan integriti demokrasi,” katanya.
Terdahulu, Jalaluddin bersama-sama 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO daripada Barisan Nasional (BN) mengumumkan menarik sokongan dan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat secara sebulat suara susulan krisis yang disifatkan boleh menjejaskan pentadbiran negeri.
Krisis yang berlaku itu dilihat bakal menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri dan secara tidak langsung memberi kesan mendalam terhadap kestabilan serta kesejahteraan rakyat. -MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment