NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PH Selangor perlu nilai semula peranan UMNO, BN – Danish



KUALA LUMPUR – Kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung isu tebuk atap mengundang reaksi Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang menyifatkannya sebagai sinis dan tidak mencerminkan realiti politik semasa.

Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, Pakatan Harapan (PH) Selangor perlu menilai semula secara serius kedudukan UMNO Barisan Nasional (BN) dalam struktur kerajaan negeri susulan perkembangan tersebut.

Menurutnya, isu itu bukan sekadar perbezaan pandangan politik, sebaliknya menyentuh soal kepercayaan dan kesetiaan dalam kalangan rakan gabungan.

“Rakyat masih ingat siapa yang pernah mencorakkan politik pintu belakang dan merobek mandat yang diberikan. Jangan terlalu ghairah menuding jari sedangkan sejarah sendiri belum selesai,” katanya dalam kenyataan.

Tegasnya, kerajaan yang terbentuk termasuk di Negeri Sembilan adalah hasil mandat demokrasi melalui kerjasama PH dan UMNO BN, bukannya melalui rundingan belakang tabir.

Justeru, katanya, tidak timbul soal penarikan sokongan jika semangat setiakawan dalam gabungan benar-benar dipelihara.

“Jika ada perbezaan pandangan, salurannya adalah rundingan, bukan ugutan politik atau percaturan belakang. Menarik sokongan sehingga menjatuhkan kerajaan sendiri, itulah ‘tebuk atap’ sebenar skrip lama yang rakyat sudah muak sejak episod Langkah Sheraton,” katanya.

Mengulas lanjut, Danish berkata, isu berkenaan tidak boleh dilihat terasing kerana ia memberi kesan langsung kepada dinamika politik di Selangor.

Sebagai negeri teras pentadbiran dan penyumbang utama ekonomi negara, Selangor tidak boleh dikompromi dengan permainan politik yang tidak konsisten.

“Sudah tiba masanya PH Selangor meneliti semula kedudukan UMNO/BN dalam kerajaan negeri termasuk peranan dalam pentadbiran, agensi dan kedudukan strategik.

“Kerjasama politik mesti berasaskan kejujuran, disiplin dan kesetiaan kepada mandat rakyat. Tidak boleh ada situasi dua wajah,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan rakyat kini menilai konsistensi tindakan parti politik, bukan sekadar retorik.

“Mereka mahukan kerajaan yang stabil dan fokus kepada ekonomi serta kesejahteraan, bukan terheret dalam percaturan politik sesama rakan gabungan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo