KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei hari ini menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menuntut tindakan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berhubung kontroversi pegangan saham serta dakwaan penglibatan dalam ‘Mafia Korporat’.
Tei yang sebelum ini terlibat dalam konflik dengan Azam susulan pendedahan skandal perlombongan di Sabah mendakwa, kerajaan gagal menangani isu tersebut secara berkesan, sekali gus memaksa beliau merujuk perkara itu kepada institusi diraja sebagai saluran terakhir.
Menurutnya, rakyat berhak mengetahui perkara sebenar yang berlaku dan melihat istana sebagai tempat terakhir untuk mengadu.
“Kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai hak untuk tahu. Kita tidak tahu mahu merayu kepada siapa lagi, hanya Agong yang boleh menyelamatkan negara ini,” katanya selepas menyerahkan memorandum kepada pegawai polis di luar pintu pagar Istana Negara.
Dalam pada itu, Tei turut mempersoalkan tindakan pihak polis yang didakwa tidak menyoal siasat mana-mana pegawai atau kakitangan kanan SPRM berhubung siasatan dakwaan ‘Mafia Korporat’.
Katanya, keadaan itu menimbulkan syak wasangka dalam kalangan orang awam selain mencetuskan persepsi wujudnya layanan pilih kasih dalam siasatan.
Pada 1 April lalu, Ketua Unit Siasatan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) Bukit Aman, Datuk Fazlisyam Abd Majid memaklumkan bahawa, kenyataan telah dirakam daripada 41 individu, namun tiada seorang pun daripada SPRM terlibat.
Sementara itu, SPRM menafikan sebarang penglibatan dalam dakwaan ‘Mafia Korporat’ yang pertama kali didedahkan oleh Bloomberg.
Tei yang turut berdepan pertuduhan rasuah turut mendakwa pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melindungi beberapa ahli politik Sabah yang dikaitkan dalam skandal berkenaan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri sebelum ini menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan siasatan masih berjalan tanpa sebarang perkembangan baharu diumumkan setakat ini.
Semalam, jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan Putrajaya belum menerima sebarang makluman mengenai kemungkinan tindakan terhadap Azam berhubung isu pegangan saham.
Beliau berkata, kabinet sebelum ini memutuskan untuk menyerahkan perkara berkenaan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang mempengerusikan jawatankuasa siasatan kes tersebut.
Dalam kenyataan bertarikh 31 Mac, Shamsul memaklumkan prosiding siasatan terhadap pemilikan saham Azam telah dimulakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, susulan pembentangan hasil penemuan jawatankuasa itu dalam mesyuarat kabinet pada 11 Mac.
Beliau turut menafikan laporan Bloomberg yang mendakwa Perdana Menteri meminta penangguhan pendedahan hasil siasatan berkaitan isu tersebut. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment