PUTRAJAYA — Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan secara terbuka memohon rakan dalam Pakatan Harapan (PH) memberi laluan kepada parti itu untuk bertanding di tiga kerusi Parlimen strategik pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pengerusinya, Khalid Samad berkata, kerusi yang disasarkan ialah Putrajaya, Labuan dan Titiwangsa atas pertimbangan parti komponen lain seperti DAP dan PKR sudah mempunyai jumlah kerusi lebih besar.
“Kita harap rakan-rakan PH dapat memberi laluan (kepada Amanah) kerana DAP dan PKR sudah mempunyai banyak kerusi. Amanah sebelum ini hanya bertanding satu kerusi di Wilayah Persekutuan.
“Tetapi kali ini PRU-16 bergantung kepada sama ada tiga penjuru atau dua penjuru, kita sasar nak bertanding tiga kerusi Parlimen,” katanya pada sidang media sempena Majlis Ramah Mesra di Dewan Serbaguna Presint 8, malam tadi.
Untuk rekod, Amanah hanya bertanding satu kerusi di Wilayah Persekutuan pada PRU-15 iaitu Parlimen Titiwangsa, namun Khalid tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Abdul Ghani dengan majoriti 4,632 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Menurut beliau, Putrajaya yang kini dipegang pembangkang dilihat sebagai kerusi terbuka untuk dirundingkan, sekali gus memberi peluang kepada Amanah memperluaskan pengaruhnya di Wilayah Persekutuan.
Bagaimanapun, Khalid menegaskan parti itu akan akur dengan sebarang keputusan pimpinan gabungan demi memastikan kerjasama politik terus utuh menjelang PRU-16.
“Kita memahami soal kerjasama, soal bertolak ansur, soal menghormati keputusan pimpinan adalah sangat penting untuk menjamin perpaduan dan kemampuan untuk kita berinteraksi dengan masyarakat.
“Sekiranya diputuskan sebaliknya, kita akur tetapi awal-awal ini kita nak kerusi-kerusi tersebut,” katanya.
Beliau turut memaklumkan rundingan pembahagian kerusi antara parti komponen PH di peringkat tempatan sedang berlangsung sebagai persiapan awal menghadapi PRU-16.
Dalam pada itu, Khalid berkata, Amanah mempunyai senarai pendek calon berpotensi, termasuk pimpinan kawasan, pemuda dan wanita, namun keputusan muktamad hanya akan dibuat apabila tiba masa sesuai.
“Ada senarai pendek calon, tetapi kita tak mahu umumkan lagi, ada ramai calon yang layak. Kita akan putuskan apabila hampir pilihan raya,” katanya.
Ditanya berapa kerusi yang disasarkan untuk Amanah bertanding, Khalid berkata, pihaknya menyasarakan untuk meletakkan calon di 40 buah kerusi Parlimen pada PRU-16 kelak.
Jelasnya, Amanah akan memfokuskan kepada negeri-negeri yang ditandingi oleh Pas selain Selangor, Johor dan Melaka.
“Kita akan usahakan, negeri-negeri seperti Kelantan, Tengganu, Kedah dan Perlis merupakan negeri-negeri tumpuan Amanah.
“Bagi parti, kita adalah parti Melayu Islam yang seharusnya mencabar Pas dan ini di antara negeri-negeri yang akan menjadi medan bagi kita, tapi pada masa yang sama negeri-negeri seperti Selangor, Johor, Melaka dan sebagainya (jadi tumpuan),” katanya lagi. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment