KUALA LUMPUR – Parti Berjasa Malaysia (Berjasa) Melaka menegaskan sebarang kerjasama politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang masih membuka ruang kepada dominasi ideologi DAP adalah satu kesilapan besar.
Pengerusinya, Ir. Ts.Mohd Khoushaini Mohd Naim mendakwa, DAP bukan sekadar parti politik biasa, tetapi membawa pendekatan yang sering dilihat bertentangan dengan asas negara.
Menurutnya, ini bukan soal emosi atau sentimen sempit, tetapi soal arah dasar negara yang mana jika asas itu terus dikompromi, kestabilan yang dibina hanyalah sementara dan rapuh.
“Gabungan yang tidak berteraskan prinsip hanya akan melahirkan kerajaan yang lemah, bercanggah dan tidak konsisten.
“Rakyat Melaka memerlukan kepimpinan yang jelas hala tuju, bukan kerajaan yang sentiasa terikat dengan tawar-menawar politik dalaman.
“Ketidaktentuan dasar akan menjejaskan pelaburan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Negeri yang mahu maju tidak boleh dipimpin oleh kompromi yang mengorbankan prinsip asas,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, sejarah politik menunjukkan bahawa kestabilan lebih kukuh apabila kekuatan Melayu dan Islam disatukan tanpa campur tangan ideologi yang bercanggah dengan asas negara.
Katanya, seperti yang dapat dilihat dalam konteks PRN Sabah, rakyat menolak DAP secara jelas.
“Melaka tidak boleh dijadikan medan eksperimen politik yang menggadaikan kestabilan demi kompromi jangka pendek,” katanya.
Sehubungan itu, ujarnya, Berjasa Melaka menyeru agar mana-mana kerjasama politik di Melaka mesti berani meletakkan garis yang jelas, penyatuan ummah tanpa dominasi ideologi yang bercanggah.
Menurutnya, kepimpinan yang kuat bukan yang pandai berkompromi, tetapi yang berani mempertahankan prinsip walaupun berdepan tekanan.
“Hanya dengan ketegasan ini, Melaka mampu bergerak sebagai negeri yang benar-benar maju, kuat dan berdaulat, bukan sekadar stabil di atas kertas, tetapi kukuh pada asasnya,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment