NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN Melaka: Bukan 15, tapi Pas tanding 16 kerusi – Zulkifli



KUALA LUMPUR – Pas Melaka mengesahkan parti itu akan bertanding di 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 yang dijangka berlangsung tahun ini.

Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail berkata, ketetapan tersebut dibuat selaras dengan pengumuman Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, ketika program Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Melaka sebelum ini.

“Parti telah membuat ketetapan untuk bertanding di 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi calon-calon yang berwibawa, berintegriti serta mempunyai latar belakang kepimpinan yang diyakini,” menurut beliau dalam satu kenyataan, hari ini. 

Jelas Ahli Parlimen Jasin itu lagi, kerusi-kerusi berkenaan adalah DUN Pantai Kundor, Paya Rumput, Klebang, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Kuala Linggi, Taboh Naning, Rembia, Durian Tunggal, Ayer Molek, Pengkalan Batu, Telok Mas, Duyong, Sungai Rambai, Merlimau dan Serkam.

Sebelum ini, Sanusi menegaskan Pas akan meletakkan calon di lebih 15 kerusi DUN menjelang PRN Melaka mengambil kira kemenangan parti di dua kerusi Parlimen negeri itu.

Jelasnya, jumlah kerusi mahu ditandingi dianggap realistik susulan kemenangan di Parlimen Jasin dan Tangga Batu.

Untuk rekod, pada PRN Melaka 2021, Pas tidak memenangi sebarang kerusi DUN, malah gabungan Perikatan Nasional (PN) hanya memperoleh dua kerusi di Melaka, namun kedua-duanya dimenangi calon Bersatu iaitu di Sungai Udang dan Bemban. 

Bagaimanapun, Pas memperoleh satu kerusi DUN apabila ADUN Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis yang sebelum ini digantung keahlian dalam UMNO menyertai Pas pada Julai 2024. 

Muhamad Jailani menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atas tiket PKR dan beliau antara empat ADUN Pakatan Harapan (PH) yang melompat menyokong Barisan Nasional (BN) bagi mengambil alih pentadbiran negeri pada Mac 2020.

Beliau dikatakan dipecat PKR, sebelum mengumumkan menyertai UMNO bagi membolehkan dipilih bertanding semula mewakili BN pada PRN 20 November 2021. – MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo