KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyifatkan pendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan yang menyatakan sokongan kepada ADUN Barisan Nasional (BN) satu perkembangan yang baik.
Menurutnya, ia memperlihatkan parti-parti berteraskan Melayu dan Islam boleh duduk bersama.
Namun, beliau menegaskan kerjasama itu bukan bermaksud menebuk atap untuk menubuhkan kerajaan, tetapi untuk bersama-sama bekerjasama dalam pilihan raya umum (PRU), sekali gus melihat berlakunya kerjasama UMNO dan Pas.
“Prinsip saya jelas, malah telah dinyatakan secara terbuka dalam ucapan saya sebelum ini.
“UMNO tarik sokongan dari kerajaan perpaduan tetapi bukan untuk menebuk atap dan gila jawatan, kita tarik sokongan atas sebab kita tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh PH.
“Kita menghormati mandat rakyat, sebab itu saya nyatakan sebelum ini tarik sokongan dan jadi pembangkang yang bermaruah, jika menarik sokongan dan kerajaan tumbang maka kita harus melalui proses pilihan raya untuk kita serahkan semula kepada rakyat bukan dengan cara tebuk atap,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Dalam masa sama, Dr Muhamad Akmal turut menempelak pihak yang dilabelnya pentaksub, yang mengkritiknya susulan tidak bersetuju dengan tindakan `tebuk atap’ dalam krisis politik di Negeri Sembilan.
“Jika pentaksub, yang menguntungkan mereka semuanya halal, yang merugikan mereka semua haram itu bezanya dengan orang yang berprinsip,” katanya.
Tambah Dr Muhamad Akmal, beliau kekal dengan prinsip sejak dulu lagi supaya UMNO menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang bermaruah atau berdepan PRU, bukannya menubuhkan kerajaan dengan cara `tebuk atap’. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment