NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pejuang Johor cadang 3 langkah atasi kenaikan harga makanan



JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor mencadangkan langkah jangka pendek, sederhana dan panjang dalam menangani isu kenaikan harga makanan di bandar raya ini yang semakin menekan golongan B40 dan M40.

Timbalan Ketua Pejuang Johor, Zainuddin Adan berkata, bagi langkah jangka pendek, kawalan harga dan penguatkuasaan terhadap aktiviti pencatutan perlu diperkukuhkan segera dengan kos fiskal yang rendah.

Menurutnya, had pembelian barangan bersubsidi mesti dilaksanakan dengan tegas agar subsidi kerajaan benar-benar dinikmati rakyat Malaysia tanpa ketirisan kepada warga asing.

“Dasar kawalan harga sementara oleh kerajaan Pusat juga perlu diperluas dengan menambah lebih banyak barangan keperluan di bawah kategori kawalan harga walaupun tanpa subsidi, memandangkan sebahagian besar kos pengangkutan telah menerima subsidi kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Bagi jangka sederhana, tambah beliau, pendekatan strategik melalui kerjasama dua hala antara Johor dan Singapura perlu dipertimbangkan bagi mengawal aliran barangan asas, katanya.

Ujarnya, mekanisme kawalan sempadan terhadap barangan bersubsidi yang dibawa keluar juga boleh dikaji secara teliti agar tidak menjejaskan hubungan perdagangan tetapi tetap melindungi kepentingan rakyat Johor.

“Sekiranya kedudukan fiskal mengizinkan, pelaksanaan subsidi bersasar melalui sistem PADU atau kad subsidi khas boleh memberi kesan langsung kepada golongan B40 dan M40,” katanya.

Untuk jangka panjang pula, katanya, tumpuan perlu diberikan kepada pengukuhan pengeluaran makanan tempatan termasuk ayam, beras dan sayur-sayuran bagi meningkatkan kapasiti bekalan serta menstabilkan harga.

Pada masa yang sama, kata Zainuddin, dasar pembangunan insan yang lebih inklusif perlu dirangka supaya bantuan dan insentif kerajaan negeri tidak hanya tertumpu kepada golongan muda, tetapi melibatkan seluruh lapisan masyarakat secara menyeluruh.

Beliau berkata, tiga langkah tersebut dicadangkan kerana kos makanan yang semakin meningkat di Johor Bahru dan kini menjadi isu serius yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat serta pembangunan insan secara menyeluruh.

Jelasnya, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), median pendapatan isi rumah Johor pada 2025 adalah sekitar RM6,800 sebulan, iaitu lebih rendah berbanding Selangor (RM8,500) dan Kuala Lumpur (RM10,500).

Tambahnya, kos pengangkutan dan logistik yang meningkat akan terus menekan harga makanan dan barangan asas, sekali gus menambah beban kepada rakyat Johor yang sudah pun berdepan kos sara hidup yang tinggi.

Sehubungan itu, katanya, tindakan segera amat diperlukan bagi mengelakkan kesan berganda terhadap kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, disebabkan kekangan fiskal Kerajaan Pusat, kerajaan negeri perlu tampil membantu petani yang terkesan secara langsung bagi memastikan pengeluaran makanan tidak terganggu dan harga makanan dapat distabilkan. – MalaysiaGazette












........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo