NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Kerajaan Selangor gagal penuhi titah Sultan Sharafuddin' - Azmin



SHAH ALAM - Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa kerajaan negeri gagal mengambil serius titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta tidak menunjukkan hala tuju jelas pentadbiran selepas tamatnya Rancangan Selangor Pertama (RS-1) pada tahun lalu.

Menurutnya, titah Sultan Selangor mengandungi nasihat, teguran dan pandangan yang wajar dijadikan panduan utama kerajaan negeri, namun sebahagiannya didakwa tidak dipenuhi.

"Titah Tuanku bukan sekali dua, malah telah berulang kali menasihati kerajaan negeri, tetapi seolah-olah tidak diambil berat, ibarat mencurah air ke daun keladi," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini pada Selasa.

Mohamed Azmin yang mewakili Perikatan Nasional (PN) turut mempersoalkan kegagalan kerajaan negeri membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) walaupun RS-1 sudah berakhir lebih empat bulan lalu.

"Sekarang sudah April 2026, tetapi tiada dokumen, tiada perbahasan, malah hala tuju baharu kerajaan negeri juga tidak jelas," katanya.

Beliau berkata, setakat penghujung tahun lalu, pencapaian pelaksanaan RS-1 hanya sekitar 55.68 peratus dan tiada maklumat terkini sama ada prestasi itu berjaya ditingkatkan.

Dalam masa sama, Mohamed Azmin turut membangkitkan persoalan mengenai kecekapan kerajaan negeri dalam menyediakan data dan maklumat tepat untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor.

"Saya ingin tahu sama ada kerajaan negeri mempunyai pasukan kompeten untuk menyediakan angka dan maklumat sahih sebelum dipersembahkan kepada Tuanku," katanya.

Mengulas penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA), beliau menegaskan kejohanan itu bersifat kebangsaan dan tidak sepatutnya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu memainkan peranan membantu dari segi kos penganjuran.

"Ini sukan peringkat nasional, bukan negeri semata-mata. Jadi, di mana peranan kerajaan pusat?" katanya.

Mohamed Azmin turut mencadangkan agar kerajaan negeri menggunakan pengaruh di peringkat Persekutuan bagi memastikan bantuan disalurkan, selain menegaskan Selangor tidak wajar menanggung beban kewangan bersendirian.

Menurutnya, susulan pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai wakil kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Barcelona baru-baru ini, kedudukan itu wajar dimanfaatkan untuk mendesak kerajaan pusat supaya segera menanggung kos penganjuran SUKMA.

"Gunakan pengaruh itu untuk pastikan kerajaan Persekutuan tampil membantu, bukan sekadar berdiam diri.

"Selangor tidak wajar menanggung beban kewangan penganjuran SUKMA secara bersendirian tanpa sokongan kerajaan pusat," jelas beliau.


Sumber | Sinar Harian










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo