GOMBAK – Kepimpinan dan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) di semua peringkat diingatkan agar tidak alpa atau terbuai dengan kedudukan sebagai pemerintah hingga melupakan jasa perjuangan parti.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, walaupun parti itu telah menerajui Selangor sejak 2008, setiap pemimpin daripada akar umbi hingga ke kepimpinan tertinggi perlu terus memelihara kestabilan serta kesatuan dalam parti.
“Jangan sesekali leka atau dibuai kedudukan serta kuasa sebagai pemerintah, sentiasalah bersama rakyat. Jadilah pasukan dan pendamping yang baik kepada pemimpin.
“Kita mesti terus menggilap idealisme dan jangan benarkan bibit -bibit rasuah merasuki serta merosakkan semangat reformasi,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Keadilan Cabang Gombak 2026, di sini hari ini.
Sehubungan itu katanya, beliau menyeru agar ahli parti tidak hanya melaungkan semangat di dalam dewan, tetapi menterjemahkannya dalam bentuk khidmat bakti yang nyata kepada rakyat di lapangan.
“Jangan jadikan hanya laungan dalam dewan ini sebagai pemangkar semangat, tapi mesti diterjemah kepada khidmat dan bakti kepada rakyat,” jelasnya.
Tegasnya beliau, setiap tindakan dan tingkah laku pemimpin kini sentiasa menjadi perhatian dan dinilai rakyat maka penting setiap ahli menjadi pasukan responsif serta bertanggungjawab kepada rakyat.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut menyifatkan Cabang PKR Gombak adalah sebuah cabang yang sangat kuat selain, berharap ia terus memainkan peranan peranan penting dalam memperkasa negeri dan mempertahankan kekuatan parti.
“Saya berpesan seikhlas hati, kalau kita tidak menggunakan platform seperti ini untuk memberi sedikit peringatan, maka saya rasa culas dalam melaksanakan tugas.
“Kita semua mewakili pemimpin, bukan hanya Datuk Seri Amirudin Shari (Menteri Besar Selangor), tetapi juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” jelasnya.
Dalam ucapan sama, Fahmi turut menegaskan beliau tidak berhasrat untuk bertanding di Selangor walaupun dilahirkan di Petaling Jaya dan terus berkhidmat di Kuala Lumpur iaitu Lembah Pantai.
Mengulas mengenai keberkesanan Kerajaan Madani dalam mendepani krisis ekonomi global, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan berkongsi berita positif kestabilan negara bahawa setakat kini bekalan bahan api mampu bertahan sehingga Jun depan.
Berhubung desas-desus Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Fahmi memaklumkan beliau akan segera ke selatan tanah air bagi memulakan gerak kerja dan menyusun jentera memandangkan gema tempuh dan paluan dendam perang semakin kuat dirasai. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment