KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan MIC, Datuk A.K. Ramalingam membidas Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana terus memainkan naratif ‘siapa tinggalkan BN ketika susah’ sedangkan parti yang kekal setia didakwa terus dipinggirkan hingga kini.
Menurutnya, kenyataan berulang itu bukan sahaja mengelirukan, malah gagal mencerminkan realiti sebenar dalam BN hari ini.
“Kenapa asyik bercakap tentang siapa yang tinggalkan BN ketika susah, tetapi tidak bercakap tentang siapa yang terus setia?” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Ramalingam menegaskan, MIC kekal bersama BN walaupun kekuatan parti itu kini hanya satu kerusi Parlimen.
Katanya, MIC tetap tidak berganjak daripada gabungan itu walaupun berada dalam kedudukan yang jauh lebih kecil.
“Walaupun kecil, kita tetap bersama BN. Kesetiaan itu tidak pernah berubah,” tegasnya.
Mengimbau semula kekalahan BN sebelum ini, beliau berkata, ketika ramai mula mempertimbangkan haluan masing-masing, MIC memainkan peranan penting memastikan gabungan itu tidak berpecah.
Menurutnya, MIC ketika itu tampil memujuk MCA agar tidak meninggalkan BN dan terus kekal dalam komponen sehingga ke hari ini.
“Dalam keadaan sukar, MIC antara yang memastikan MCA tidak keluar dan kita kekal bersama,” katanya.
Namun, beliau mempersoalkan layanan terhadap parti komponen selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca PRU-15.
Menurutnya, walaupun BN pada awalnya berkecuali, penyertaan dalam kerajaan akhirnya menyaksikan hanya UMNO mendapat manfaat.
“Siapa jadi Timbalan Perdana Menteri? Siapa jadi menteri, menteri kanan? Semua itu UMNO,” katanya.
Beliau berkata, MIC dan MCA bukan sahaja tidak diberikan jawatan Kabinet, malah langsung tidak diberikan sebarang peranan dalam pentadbiran.
“Bukan sahaja tiada jawatan menteri, jawatan GLC pun tiada, lantikan lain pun tiada. Malah jawatan senator juga tidak diperbaharui,” ujarnya lagi.
Situasi itu, katanya, menunjukkan jurang ketara antara tuntutan kesetiaan dan realiti layanan terhadap parti komponen.
“Bila susah, kita diminta setia. Bila sudah ada kuasa, kita langsung tidak diendahkan. Jadi siapa sebenarnya tinggalkan siapa?” soalnya.
Dalam masa sama, beliau membidas persepsi usaha parti komponen mencari hala tuju sendiri dilihat sebagai tidak setia.
“Bila parti lain fikir masa depan, dilabel tikam belakang. Hakikatnya, yang berlaku sebelum ini adalah tikam di dada,” katanya.
Mengulas persiapan menghadapi pilihan raya akan datang, Ramalingam turut mempersoalkan ketelusan kepimpinan BN dalam soal agihan kerusi.
Menurutnya, sehingga kini masih tiada kejelasan diberikan kepada parti komponen walaupun tempoh menuju PRU semakin hampir.
“Sudah bertahun-tahun, masih tidak jelas kerusi mana untuk parti komponen. Bagaimana kita mahu bekerja di peringkat akar umbi?” katanya.
Tegas beliau, agihan kerusi perlu dibuat secara adil dan telus, selaras dengan kesetiaan serta sumbangan parti komponen.
“Kalau benar mahu kekal bersama, berikan kejelasan dan agihan yang adil. Jangan hanya minta kesetiaan tanpa timbal balik,” katanya.
Ramalingam turut menggesa kepimpinan BN supaya lebih jujur dalam menentukan hala tuju gabungan itu.
“Kalau mahu kekal dalam Kerajaan Perpaduan dan sokong Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), nyatakan dengan jelas. Jangan satu kaki di sini, satu kaki di tempat lain,” tempelaknya.
Menurutnya, parti komponen masih komited bersama BN, namun kesetiaan itu tidak boleh terus dipandang ringan.
“Cukup-cukuplah cerita lama. Parti komponen mahukan keadilan dan tindakan sebenar, bukan sekadar ucapan,” katanya. -MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment