KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) membantah tindakan penahanan beberapa aktivis baru-baru ini dan menggesa supaya mereka dibebaskan segera tanpa syarat.
Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, penahanan tersebut menimbulkan persoalan terhadap pendekatan penguatkuasaan undang-undang khususnya dalam menangani suara kritikal dalam negara yang mengamalkan prinsip demokrasi.
Menurutnya, hak untuk bersuara merupakan asas penting dalam memastikan sistem semak dan imbang terus berfungsi, justeru tindakan terhadap aktivis yang menyuarakan pandangan tidak wajar dilihat secara sempit.
“Dalam masa sama, kita tidak menolak bahawa kebebasan bersuara perlu disertai tanggungjawab. Bantahan boleh dilakukan tetapi ia harus disampaikan secara berhemah serta menghormati majlis dan tatacara yang sedang berlangsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sejarah negara menunjukkan pelbagai bentuk protes sebelum ini ditangani secara lebih matang tanpa tindakan penahanan yang disifatkan tergesa-gesa.
“Ini termasuk protes besar yang pernah berlaku di hadapan Pejabat Perdana Menteri malah pimpinan kerajaan hari ini sendiri pernah berdepan dengan gelombang bantahan mahasiswa dalam suasana yang lebih terbuka,” ujarnya.
Danish turut menegaskan, mahasiswa dan aktivis merupakan suara masa depan negara, namun pendekatan yang diambil perlu lebih strategik dan berkesan tanpa menjejaskan keharmonian.
“Suara lantang tidak semestinya perlu mengganggu, dan keberanian tidak harus diterjemahkan dalam bentuk yang mencetuskan ketegangan,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menuntut supaya semua aktivis yang ditahan dibebaskan segera, selain menggesa pihak berkuasa memberikan penjelasan telus serta tidak bertindak secara berlebihan dalam menangani isu berkenaan. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment