KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] UMNO mengakui masih belum berjaya mendapat tempat di hati rakyat Kelantan untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negeri ini.
Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, parti itu sebelum ini mengemukakan pelbagai pendekatan termasuk manifesto serta cadangan pembangunan yang diyakini mampu memberi manfaat kepada rakyat.
Katanya, bagaimanapun sokongan rakyat tetap kepada kerajaan negeri itu walaupun terdapat pelbagai pandangan mengenai prestasi pentadbiran dan pembangunan di negeri berkenaan.
“UMNO pernah menawarkan pelbagai cara dan kaedah termasuk manifesto yang kami rasakan terbaik untuk rakyat Kelantan.
“Namun sehingga hari ini UMNO masih lagi belum mendapat tempat di hati rakyat untuk parti ini mengambil alih negeri Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas Moreh Ramadan bersama Pengamal Media negeri Kelantan di Pejabat UMNO di sini pada Ahad.
Beliau berkata, kerajaan pusat selama ini turut memainkan peranan penting dalam membantu pembangunan di Kelantan selain sumbangan daripada sektor swasta.
Tambahnya, pembangunan sesebuah negeri memerlukan peranan bersama antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan bagi memastikan kemajuan dapat dinikmati rakyat secara menyeluruh.
“Kalau soal pembangunan, kerajaan pusat memang banyak membantu negeri Kelantan, namun kerajaan negeri juga mempunyai tanggungjawab untuk memacu pembangunan di peringkat negeri sebagaimana dilakukan negeri lain
“Kami menghormati pilihan tersebut kerana dalam sistem demokrasi, rakyatlah yang membuat penentuan,” katanya.
Ahmad Jazlan turut membandingkan perkembangan ekonomi beberapa negeri lain seperti Johor, Pahang dan Melaka yang menurutnya berjaya meningkatkan hasil negeri serta pembangunan ekonomi masing-masing.
Menurutnya, Kelantan juga mempunyai potensi untuk mencapai tahap pembangunan yang sama sekiranya semua pihak memainkan peranan secara bersama.
“Saya percaya rakyat Kelantan semakin berpendidikan, profesional dan mampu menilai sendiri perkara-perkara yang berlaku di negeri ini.
“Akhirnya rakyat juga yang akan membuat keputusan mengenai hala tuju negeri pada masa depan,” katanya.
Mengulas mengenai gagasan 'Rumah Bangsa' yang diperkenalkan Presiden UMNO, beliau berkata platform itu dilihat penting sebagai ruang perbincangan melibatkan kepentingan agama, bangsa, bahasa serta kedudukan institusi raja.
Katanya, walaupun parti-parti politik berbeza pandangan dan bersaing dalam pilihan raya, kerjasama dalam isu melibatkan kepentingan agama dan bangsa tidak seharusnya dipertikaikan.
“Dalam demokrasi kita boleh bersaing dalam pilihan raya, tetapi apabila menyentuh soal agama, bangsa, bahasa dan kedaulatan Raja-Raja Melayu, kita perlu mencari titik persamaan demi kepentingan bersama,” katanya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment