KUALA LUMPUR, 10 Mac – Tiga kereta milik seorang aktivis dikenali sebagai Cikgu Chandra terbakar selepas dipercayai dibakar oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali dalam satu kejadian awal pagi tadi.
Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung yang memuat naik gambar kejadian di Facebook berkata insiden berlaku kira-kira jam 3 pagi apabila ketiga-tiga kenderaan milik aktivis berkenaan dibakar.
Menurutnya, pihak polis dan bomba tiba dengan cepat di lokasi bagi memadamkan kebakaran serta mengawal keadaan.
“Ketika Cikgu Chandra menghubungi saya sekitar jam 5.30 pagi, beliau memaklumkan polis sedang mengawal kawasan sekitar rumahnya serta memastikan keselamatan keluarganya,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pihak polis akan berjaya menahan suspek, termasuk dalang serta individu yang menghasut kejadian tersebut dalam masa terdekat.
Sebelum ini, rumah Cikgu Chandra di Puchong dilaporkan diserang sekumpulan lelaki yang memecahkan cermin kereta serta tingkap kediamannya.
Insiden terbaharu itu berlaku hanya beberapa hari selepas seorang lagi pendakwah bebas, Zamri Vinoth, dilaporkan diserang sekumpulan lelaki ketika berada di dalam keretanya.

No comments
Post a Comment