NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sayap Patah Di Udara, Bangkit Di Darat: Mengapa Iran Tiada Jet Pejuang Moden?

Dalam lambakan analisis mengenai peperangan yang sedang membakar Timur Tengah pada hari ini, ada satu persoalan yang sering menjadi bahan perdebatan.

Setiap kali rejim Isbiol dan tentera Amerika Syarikat menceroboh ruang udara Tehran, ramai yang tertanya-tanya ke mana perginya jet pejuang Iran.

Mengapa sebuah kuasa serantau yang begitu besar dan digeruni seolah-olah membiarkan langit mereka kosong tanpa sebarang tentangan di udara?

Adakah Iran terlalu miskin atau tidak pandai membina tentera udara?

Bagi mencari jawapan yang tepat, kita wajib menyelak kembali lipatan sejarah geopolitik ke era sebelum tahun 1979.

Pada waktu itu, Iran bukanlah musuh kepada blok Barat. Sebaliknya, di bawah pemerintahan Shah Reza Pahlavi, Iran adalah 'anak emas' dan sekutu paling akrab Washington di Timur Tengah.

Hubungan mereka terlalu intim sehinggakan Amerika Syarikat sanggup menjual senjata rahsia paling canggih mereka kepada Tehran.

Senjata yang dimaksudkan itu adalah jet pejuang legenda F-14 Tomcat, lengkap dengan peluru berpandu maut AIM-54 Phoenix.

Untuk rekod sejarah, Iran adalah satu-satunya negara di atas muka bumi ini (selain Amerika Syarikat) yang dibenarkan memiliki jet pemintas elit tersebut.

Akan tetapi, 'bulan madu' ini hancur berkecai sekelip mata apabila berlakunya Revolusi Islam 1979.

Pemerintahan Shah Reza digulingkan dan Washington terus melenting. Hubungan diplomatik diputuskan, dan Amerika serta-merta mengenakan sekatan senjata yang paling kejam.

Bermula dari saat itulah, armada udara Iran mula mengalami mimpi ngeri.

Jet tempur secanggih F-14 Tomcat memerlukan alat ganti dan penyelenggaraan teknikal yang amat teliti.

Tanpa bekalan alat ganti tulen dari kilang di Amerika, jet-jet ini tidak ubah seperti sekadar besi buruk yang tersadai di dalam hangar.

Pakar kejuruteraan Iran tidak menyerah kalah. Mereka beralih kepada taktik kelangsungan hidup yang dipanggil 'cannibalization'.

Mereka terpaksa meleraikan dan memusnahkan satu jet pejuang semata-mata untuk mengambil alat gantinya bagi menghidupkan jet yang lain.

Lama-kelamaan, stok komponen mereka semakin menyusut. Daripada puluhan F-14 yang gah pada asalnya, hanya segelintir sahaja yang masih mampu terbang pada hari ini.

Walaupun Iran ada mencuba untuk membeli jet dari Rusia seperti MiG-29 dan Su-24 pada era 90-an, ia masih tidak mencukupi.

Malah, keadaan menjadi lebih parah apabila Majlis Keselamatan PBB meluluskan pelbagai siri resolusi sekatan senjata yang mengikat tangan Tehran daripada membeli sebarang aset baharu.

Jadi, adakah Iran sekadar duduk berpeluk tubuh menunggu langit mereka dikuasai musuh?

Tentu sekali tidak. Apabila pemimpin tentera Iran menyedari bahawa mereka tidak akan mampu bersaing di udara menentang jet siluman F-35 milik rejim Z, mereka menukar sepenuhnya peraturan permainan.

Mereka mencipta satu doktrin peperangan asimetrik yang sangat luar biasa.

Falsafah mereka amat mudah; jika kita tidak boleh menguasai langit dengan jet pejuang, kita kuasai langit dari atas darat.

Berbilion dolar pelaburan pertahanan mereka tidak lagi disalurkan untuk membeli kapal terbang, tetapi dicurahkan ke dalam industri peluru berpandu balistik dan dron.

Pakar kejuruteraan tempatan mereka dikerah siang dan malam di dalam fasiliti bawah tanah yang kebal daripada bom.

Hasilnya amat menakutkan kuasa Barat. Iran berjaya melahirkan misil hipersonik seperti siri Fattah yang mampu terbang pada kelajuan yang tidak tercapai oleh akal.

Mereka mencipta misil balistik jarak jauh seperti Shahab-3, Kheibar, dan Sejjil yang boleh membedil tepat ke tengah-tengah jantung ibu kota musuh.

Tidak cukup dengan itu, Iran membangunkan 'tentera lebah' mereka yang tersendiri, iaitu armada dron berani mati seperti Shahed-136.

Dron ini sangat murah untuk dibina tetapi amat mematikan kerana ia direka untuk terbang rendah dan mengelirukan sistem radar musuh.
Bagi melindungi ruang udara mereka pula, Tehran membangunkan sistem pertahanan permukaan ke udara (SAM) tempatan yang sangat ampuh seperti Bavar-373, selain menggunakan S-300 dari Rusia.

Strategi ini terbukti sangat berkesan dan menggerunkan.

Apabila Iran membalas serangan ke atas Isbiol, mereka tidak perlu menerbangkan walau sebuah pun jet pejuang.

Mereka hanya perlu menekan butang dari perut gunung, dan beratus-ratus peluru berpandu akan membelah awan merobek sistem kebanggaan musuh seperti Iron Dome dan David's Sling.

Taktik asimetrik ini telah membuktikan bahawa kelemahan tidak semestinya membawa kepada kekalahan, sebaliknya ia memaksa sesebuah negara itu untuk menjadi lebih kreatif dan berdikari.

Tuan-puan, sejarah pertahanan Iran ini mengajar kita satu realiti geopolitik yang sangat keras.

Kuasa Barat akan sentiasa menggunakan sekatan ekonomi dan senjata untuk membuli negara yang tidak mahu tunduk kepada mereka.

Jika kita terus selesa bergantung kepada teknologi dan ehsan negara luar, nasib kita juga akan berakhir seperti sayap yang patah.

Kita wajib membina kepakaran teknologi kita sendiri, berdiri di atas kaki sendiri, dan jangan sesekali menggadaikan maruah agama serta negara kepada telunjuk penjajah.

___

Naskhah tulisan saya yang berjudul Keajaiban-Keajaiban Dunia ini membongkar rahsia sains, sejarah, dan alam semula jadi di dalam satu pengembaraan ilmu yang tidak membosankan. Ia padat dengan pelbagai fakta menarik yang merentasi garis masa, bermula daripada kehebatan monumen zaman purba sehinggalah kepada kecanggihan teknologi peradaban moden. Tuan-puan pasti seronok meneroka himpunan kisah ini kerana ia ditulis menggunakan gaya bahasa yang sangat santai dan mudah difahami oleh semua peringkat umur.

​Boleh terus dapatkan naskhah peribadi tuan-puan di pautan Shopee di bawah:
https://s.shopee.com.my/2g24zyvuWB

​Atau di Webstore (Klik pautan ini sekarang untuk tebus baucar dan dapatkan buku ini sebelum promosi tamat):
https://bit.ly/3OyBuYY

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo