Presiden BERSATU itu dijangka berada di kandang tertuduh sepanjang beberapa hari perbicaraan berkaitan tujuh pertuduhan yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin dimulakan dengan pihak pendakwaan membentangkan kenyataan pembukaan, yang menggariskan pertuduhan serta bukti yang akan dikemukakan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.
Pihak pendakwaan dijangka memanggil tidak lebih 30 saksi sepanjang perbicaraan.
Mahkamah sebelum ini menetapkan beberapa tarikh perbicaraan iaitu 9, 10 dan 11 Mac; 13, 16, 28 dan 29 April; 25 dan 26 Mei; 6 hingga 10 Julai, 13 hingga 17 Julai dan 27 hingga 29 Julai; serta 7, 18, 19, 20, 21, 26 dan 27 Ogos tahun ini.
Muhyiddin, 79, didakwa pada tahun 2023 atas tujuh kesalahan merangkumi empat pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan inisiatif Jana Wibawa.
Pada 22 Ogos tahun lalu, Jabatan Peguam Negara menolak representasi beliau untuk menggugurkan semua pertuduhan.
Beliau didakwa menyalahgunakan kedudukannya dengan meminta rasuah berjumlah RM232.5 juta untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia daripada beberapa syarikat termasuk Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan individu Datuk Azman Yusoff.
Suapan yang didakwa itu dikaitkan dengan program Jana Wibawa, iaitu inisiatif kerajaan ketika pandemik COVID-19 bagi membantu kontraktor Bumiputera.
Selain itu, Muhyiddin turut berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM200 juta yang didakwa diterima daripada Bukhary Equity dan dimasukkan ke dalam akaun bank milik BERSATU di AmBank dan CIMB Bank.
Perbicaraan kes ini dijangka berlangsung secara berperingkat mengikut tarikh yang telah ditetapkan mahkamah sepanjang tahun ini.

No comments
Post a Comment